Salahuddin: Terpulang kepada Majlis Presiden PH putuskan calon MB
Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata terpulang kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berhubung calon gabungan mereka untuk jawatan menteri besar bagi pilihan raya negeri (PRN) Johor.
Salahuddin berkata dia tidak mahu mengulas panjang isu itu kerana dia turut bertanding dalam PRN Johor.
"Itu mungkin Majlis Presiden PH akan bincang dalam masa terdekat tapi tak mahu komen banyak sebab saya pun bertanding.
"Biarlah diselesaikan oleh majlis presiden PH. Setakat ini belum ada perbincangan lagi," katanya kepada wartawan ketika berkempen di Simpang Jeram.
Semasa PRN Melaka, PH mempunyai calon yang jelas kerana Adly Zahari dari Amanah adalah ketua menteri ketika gabungan itu mentadbir Melaka.
Di Johor, jawatan itu sebelum ini disandang pemimpin Bersatu.
Antara mereka yang namanya dispekulasikan mempunyai potensi dinamakan sebagai menteri besar adalah Maszlee Malik dari PKR yang bertanding di Layang-layang.
Salahuddin juga merupakan pemimpin paling kanan dalam Amanah yang bertanding di Johor, menjadikannya calon yang berpotensi.
Bagaimanapun, PH mungkin memilih untuk tidak menamakan calon menteri besar bagi mengelak pergeseran sepanjang tempoh berkempen.
Hari mengundi PRN Johor adalah pada 12 Mac ini.

