Warisan pertahan langkah bertanding di kerusi pembangkang
PRN JOHOR | Parti Warisan menumpukan lebih banyak masa untuk menjelaskan langkahnya bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ketika masuk kempen hari kelima.
Antara kritikan yang dihadapi parti berpangkalan di Sabah itu ialah kesemua enam kerusi yang ditandinginya disandang oleh pembangkang dan tiada satu pun kerusi daripada BN.
Calon Warisan di DUN Bukit Batu, Lee Ming Wen, semasa sidang media semalam, disoal mengenai keutamaan parti itu bertanding di kerusi yang disandang pembangkang.
"Saya tidak akan mengulas mengenai perkara itu. Fokus saya adalah kepada isu tempatan dan itulah sebab saya berada di sini. Itu sahaja," katanya.
Naib Presiden Warisan Junz Wong, yang turut hadir pada sidang akhbar itu, kemudian mencelah dengan menjelaskan bahawa Warisan baru bertapak di Johor dan terpaksa menyasarkan kerusi yang mampu meraih sokongan.

"Kami belum mempunyai cawangan atau bahagian di sini. Kami baru sahaja memasuki pilihan raya Johor jadi kami melihat kerusi di mana kami boleh mendapat sokongan yang mencukupi.
"Bila kita lihat komposisi kerusi, kita tidak lihat siapa penyandangnya atau parti mana yang menang. Kita lihat kerusi seperti Pekan Nanas, Permas, Mahkota yang mempunyai 55 peratus Bumiputera dan ke atas," katanya.
Warisan akan bertanding di kerusi BN
Dia menegaskan bahawa pada masa akan datang, Warisan akan bertanding di kerusi yang disandang BN seperti yang dilakukan di Sabah.
Sebelum ini parti itu turut dibidas kerana menerima kemasukan pemimpin daripada parti lain.
Lee sendiri misalnya, sebelum ini bersama PKR.
Bagaimanapun, Wong berkata orang ramai harus bersikap adil kerana Lee tidak pernah dipilih sebagai wakil rakyat apabila bertukar parti.
“Itu bukan bermakna anda telah mengkhianati mandat rakyat kerana tiada mandat diberikan.
"Tetapi jika anda bertukar parti dengan kerusi, maka saya setuju (ia khianati mandat rakyat)," katanya.
Pada pilihan raya ini Lee akan berdepan calon PKR, Chiong Sen Sern, calon PN, Tan Heng Choon dan calon BN, S Spayyah.
Kerusi itu yang terdiri daripada 58 peratus kaum Cina, 34 peratus Melayu dan tujuh peratus India, dimenangi PKR pada pilihan raya umum lalu.

