Perikatan Nasional (PN) belum membuat sebarang pendirian berhubung cadangan supaya pihak berkuasa agama setiap negeri meminda syarat pertukaran kepada Islam secara sebelah pihak.

Bagaimanapun, pengerusinya, Muhyiddin Yassin mengakui isu penukaran agama merupakan perkata sensitif dan ia memerlukan berbincangan lebih teliti di peringkat pucuk pimpinan.

“Kami masih belum membuat sebarang ketetapan lagi. Kita perlu meneliti setiap aspek termasuk perlembagaan, undang-undang dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni masyarakat Cina di Pekan Bukit Gambir di Johor hari ini.

Muhyiddin berkata demikian mengulas pendirian PN susulan desakan Dewan Ulama PAS supaya pihak berkuasa agama setiap negeri segera meminda syarat pertukaran agama anak secara sebelah pihak.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata setiap rakyat bagaimanapun mempunyai kebebasan dan hak untuk memilih agama begaimanapun ia berbeza bagi umat Islam.

“Tetapi untuk orang Islam ia mempunyai undang-undang khusus yang mengawal orang Islam (dari menganuti agama lain). Apa pun kita juga perlu kembali kepada perlembagaan,” katanya.

Sebelum ini Dewan Ulama PAS mendesak pihak berkuasa agama setiap negeri segera meminda syarat pertukaran agama anak secara sebelah pihak dan terdapat beberapa negeri telah melakukannya.

Ia berikutan beberapa kecaman terhadap pihak berkuasa agama Perlis kerana mendaftarkan tiga kanak-kanak bawah umur sebagai Islam tanpa kehadiran ibu mereka.

Pendaftaran itu berlaku meskipun Mahkamah Persekutuan memutuskan dan mengesahkan bahawa penukaran agama kanak-kanak bawah umur perlu mendapat persetujuan kedua-dua ibu dan bapa.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata kesemua 56 calon PN bagi pilihan raya negeri (PRN) Johor akan meneruskan tradisi menandatangani akujanji dan mengangkat sumpah menolak segala perbuatan rasuah serta salah guna kuasa seperti dilaksanakan ketika PRN Melaka sebelum ini.

Kata Muhyiddin, semua 56 calon PN juga akan melafazkan ikrar bagi memikul tanggungjawab serta amanah untuk membentuk sebuah kerajaan negeri yang bersih.

"Esok saya akan ke Johor Bharu lagi dimana semua calon-calon kita seramai 56 orang akan angkat sumpah dengan nama Allah bahawa mereka tidak akan melakukan rasuah dan salah guna kuasa ataupun perkara yang boleh merosakkan negeri Johor.

"Ini menunjukkan kesungguhan kita untuk membentuk sebuah kerajaan yang berintegriti yang berpegang kepada prinsip bersih, cepat dan tidak melakukan apa-apa yang boleh memudaratkan,” katanya.