Seorang penyokong kerajaan hari ini mengingatkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin agar tidak menggunakan ugutan terhadap rakyat dalam isu pengambilan dos penggalak khususnya membabitkan penerima vaksin Sinovac.

Tiong King Sing (GPS-Bintulu) berkata, selaku menteri yang bertanggungjawab dalam aspek kesihatan, Khairy sepatutnya memilih untuk mengambil pendekatan mendidik berbanding membuat ugutan.

“Saya sebagai ahli parlimen tidak setuju dengan tindakan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menjadikan status vaksinasi mereka (penerima vaksin Sinovac) bertukar kepada tidak lengkap selepas 31 Mac ini sekiranya tidak mengambil dos penggalak," katanya dilapor Sinar Harian.

King Sing berkata demikian ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur hari ini.

“Saya minta KKM dan menteri fikirlah balik (tindakan untuk tukar staius kepada tidak lengkap) jika tidak mahu ambil dos penggalak.

"Janganlah kita ugut, nanti rakyat ugut kita balik.

“Kenapa kita perlu ambil tindakan sebegini? Kita kena fikir juga nasib rakyat yang bimbang dengan keselamatan mereka dengan pengambilan dos penggalak ini,” katanya.

KKM pada Rabu memutuskan untuk tidak akan melanjutkan tempoh pemberian dos penggalak kepada penerima vaksin Sinovac yang telah ditetapkan sehingga 31 Mac ini.

Khairy berkata, sekiranya golongan itu masih enggan mendapatkan dos penggalak selepas tarikh yang ditetapkan, status vaksinasi mereka akan bertukar kepada tidak lengkap.