Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muafakat Nasional kini bagai zombi, kata Mahfuz
Diterbitkan:  Mar 4, 2022 4:58 PM
Dikemaskini: 8:58 AM

Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar menyifatkan Muafakat Nasional (MN) kini umpama 'zombi' pada waktu ini.

Kenyataan berkenaan hadir selepas Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, menganggap permuafakatan mereka dengan Umno itu sebagai "tak nampak hidup tapi tak mati" semalam.

Kata Mahfuz disebabkan kedudukan MN diisytiharkan oleh pemimpin kanan PAS itu sebagai tidak mati dan tidah hidup, wajar kerjasama tersebut dianggap sebagai zombi.

"Mati pun tak, hidup pun tak. Saya anggap keadaan MN iaitu (melibatkan kerjasama) antara Umno dengan PAS macam zombi.

"Ini sangat bahaya dalam konteks Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor," katanya seperti dipetik Sinar Online hari ini.

Tambah ahli parlimen Pokok Sena itu lagi sebarang undi yang diberikan rakyat Johor kepada PAS atau Umno hanya akan memberikan kesan buruk kepada masa depan negara.

Hari ini Malaysiakini memetik Tuan Ibrahim sebagai mengakui hubungan parti itu dengan Umno dalam MN semakin regang khususnya selepas mereka bertembung dalam beberapa pilihan raya baru-baru ini.

Dia turut mengakui jawatankuasa bersama Umno-PAS sudah tidak bermesyuarat sejak beberapa bulan lalu.

Pun begitu ahli parlimen Kubang Kerian itu menegaskan muafakat politik tersebut - yang dimeterai ketika kedua-duanya menjadi parti pembangkang - belum berkubur.

Katanya tidak ada sesiapa yang mengisytiharkan MN sudah berakhir.

Mahfuz mendakwa, kenyataan Tuan Ibrahim itu juga menunjukkan PAS masih mahu berharap kepada Umno dan bekerjasama dengan mereka di sebalik kerenggangan yang ada.

"Ini bermakna PAS dari dulu lagi masih 'merengek' untuk bersama Umno. Mereka masih lagi mahu menerima parti yang yang didukung oleh kluster mahkamah," katanya.

Lihat Komen
ADS