Angkatan Muda Parti (AMP) Parti Keadilan Rakyat mendakwa pihaknya tidak dibenar membahagikan makanan kepada mangsa banjir di Felda Sungai Kelamah di Gemas Negeri Sembilan.

Ahli Jawatankuasa AMP Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin mendakwa, pihaknya dihalang oleh Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Wahid Dol dan Bendahari JKKK Felda Sungai Kelamah, Ramli Abdullah.

"Kedua-duanya mendakwa, mereka telah menerima arahan supaya tidak membenarkan mana-mana pihak, terutama parti politik, memberi bantuan kepada mangsa banjir," katanya Badrul Hisham yang juga Pengarah Pusat Aduan Rakyat PKR Negeri Sembilan kepada malaysiakini hari ini.

Sebaliknya, kata beliau, Wahid meminta ahli PKR supaya menghubungi Jawatankuasa Bencana Banjir yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah.

Menurut Badrul Hisham, beliau mengetuai kumpulan AMP ke Felda Sungai Kelamah untuk menyampaikan bantuan bekalan makanan dan bantuan wang tunai kepada 30 keluarga mangsa di Felda terbabit.

"Dalam keadaan banjir sepatutnya semua pihak mengetepikan fahaman politik kerana niat kami (PKR) adalah ikhlas untuk meringankan beban mangsa banjir," katanya lagi.

Urusan pengagihan

Sementara itu, Bendahari JKKK Felda Sungai Kelamah, Ramli Abdullah, ketika dihubungi berkata, pihaknya memutuskan untuk hanya menerima bantuan untuk mangsa banjir yang diuruskan oleh Pejabat Daerah.

Katanya, ia bertujuan untuk mengelak sebarang penyelewengan dalam urusan pengagihan bantuan kepada mangsa banjir terbabit.

Ramli menjelaskan, pihaknya sebenarnya tidak menolak bantuan yang mahu diberikan oleh AMP tetapi menasihatkanmereka supaya menghantarkan ke Pejabat Daerah Kecil Gemas terlebih dahulu, sebelum ia diagihkan kepada mangsa banjir terbabit.

Beliau mengingatkan pihak-pihak tertentu supaya tidak mengaitkan perkara itu dengan pemimpin politik Barisan Nasional (BN) atau Menteri Besar, Datuk Mohamad Hasan.

Beliau berkata, Felda Sungai Kelamah mempunyai kira-kira 4,000 penduduk. Setakat ini hanya 40 keluarga yang dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Felda Sungai Kelamah sejak Selasa lalu, dan mereka dijangka pulang dibenarkan pulang beberapa hari lagi.