PBM gesa kaji SOP kempen lepas ramai calon, wartawan positif Covid-19
PRN JOHOR | Parti Bangsa Malaysia (PBM) menyarankan agar pihak berkuasa memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) bagi kempen pilihan raya Johor ekoran beberapa calon dan pengamal media dijangkiti Covid-19 ketika kempen sedang berlangsung.
Pengarah pilihan raya PBM, Haniza Mohamed Talha, berkata ia penting bagi memastikan episod penularan Covid-19 seperti yang berlaku selepas pilihan raya Sabah tidak berulang.
"PBM amat prihatin terhadap perkara ini dan khuatir jangkitan akan menjadi lebih teruk, malah amat membimbangkan ialah apa yang berlaku di Sabah akan berulang jika tiada tindakan diambil, terutamanya pada hari pengundian.
"Sebagai langkah segera, pihak berkuasa yang berkenaan harus meneliti SOP berkempen memandangkan sebilangan besar wartawan yang membuat liputan semasa mengikuti kempen juga telah dijangkiti," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Malaysiakini sebelum ini melaporkan seramai lima calon PRN Johor dijangkiti Covid-19 dengan yang terbaru ialah calon PH bagi kerusi Jementah, Ng Kor Sim disahkan positif wabak berkenaan.
Selain itu, empat lagi calon disahkan positif wabak itu iaitu calon kerusi DUN Pekan Nanas, Yeo Tung Siong (PH), calon kerusi DUN Penggaram, Ter Hwa Kwong (BN), calon kerusi DUN Batu, Chiong Sen Sern (PH) dan calon kerusi DUN Gambir, Naim Jusri (PH).
Dalam pada itu, PBM berkata sekurang-kurangnya tujuh wartawan telah disahkan positif Covid-19.
"Wartawan dan jurugambar tidak mempunyai pilihan pada masa-masa tertentu selain menghadiri kempen yang sering menarik orang ramai, kerana acara sebegitu sering diadakan di lokasi terpencil.
"PBM rasa adalah lebih baik ketika ini sekiranya pihak yang menganjurkan acara sebegini menyediakan liputan secara langsung dalam talian di mana orang ramai dan media boleh mengikutinya tanpa memerlukan sebarang kehadiran fizikal," katanya lagi.

