Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
116 polis di IPD Timur Laut positif Covid-19
Diterbitkan:  Mar 7, 2022 4:23 PM
Dikemaskini: 8:23 AM

Seramai 116 pegawai dan anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut disahkan positif Covid-19 dalam tempoh seminggu lepas, kata Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong.

Soffian berkata mereka dijangkiti Covid-19 kategori satu dan dua serta sedang menjalani kuarantin di kediaman masing-masing.

"Selain pegawai dan anggota berkenaan, seramai 134 ahli keluarga mereka turut positif wabak itu. Tiada sesiapa dirawat di hospital setakat ini kerana mereka dalam kategori satu dan dua," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata jangkitan wabak itu dalam kalangan pegawai dan anggota setakat ini tidak mengganggu penugasan dan operasi di IPD Timur Laut.

Katanya pihaknya menjalankan sanitasi secara berkala di premis berkenaan selain memastikan polis dan orang ramai yang berurusan di situ mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS