Mangsa banjir di Johor terus meningkat
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini melawat mangsa banjir di Johor yang semakin meningkat kepada 73,979 orang, sebahagian besarnya di daerah Muar bertambah hampir 1,000 daripada semalam.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini melawat mangsa banjir di Johor yang semakin meningkat kepada 73,979 orang, sebahagian besarnya di daerah Muar bertambah hampir 1,000 daripada semalam.
Mereka membabitkan 14,843 keluarga dari 232 kampung dan kini ditempatkan 341 pusat perpindahan. Manakala 21,620 mangsa banjir di Muar ditempat di 91 pusat perpindahan sehingga jam 8 pagi ini.
Seramai 13,112 mangsa banjir lagi ditempatkan di pusat perpindahan di Kota Tinggi, diikuti 11,766 di Kluang, Segamat (9,356), Johor Bahru (8,373), Batu Pahat (5,324), Pontian (3,866) dan Mersing (562).
Menurut laporan Bernama, di Kluang, keadaan semakin baik dan hanya jalan Kluang ke Mersing melalui Felda Nitar masih tidak boleh dilalui. Jalan Kluang ke Mersing melalui Jemaluang sudah dibuka.
Air Sungai Mengkibol kini di paras amaran (2.4 meteri) dan semakin surut manakala air Empangan Machap melebihi paras bahaya 17.65 meter (paras bahaya 17.4 meter).
Manakala semua bacaan di beberapa kawasan di Sungai Muar, termasuk Sungai Muar di Bukit Kepong, Lenga, Liang Batu, Panchor dan Kuala Pagoh, telah mencapai paras berbahaya antara 2 meter hingga 5 meter.
Kehabisan bekalan
Sementara itu di Segamat, mangsa banjir di penempatan Felda masih terputus hubungan akibat bencana itu, dengan jalan-jalan ke Felda Paloh, Redong dan Pemanis masih tidak boleh dilalui.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Kemelah, Ayub Rahmat, pihaknya mendapat tahu kebanyakan kedai runcit di ketiga-tiga felda berkenaan kehabisan bekalan makanan kerana bekalan baru tidak dapat masuk kawasan itu.
Pihak Berkuasa Tempatan kini sedang berusaha menyediakan beberapa bot bagi membawa bekalan kepada peniaga runcit di Felda, bagi mengatasi masalah itu.
Di Segamat, bekalan bahan makanan dan keperluan lain di pusat bandar semakin pulih sejak bandar itu mula boleh dilalui pelbagai kenderaan, pagi semalam.
Jumlah mangsa banjir Di Pahang juga terus meningkat kepada 5,113 orang, dengan tambahan 471 mangsa terbaru dari daerah Pekan.
Manakala 457 orang dari Kampung Bebar dipindahkan malam tadi ke pusat perpindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Bebar, Pekan, manakala selebihnya dari Kampung Kuala Pahang dan Kampung Mencupu, Pekan.
Cecah paras bahaya
Mangsa banjir di pusat-pusat perpindahan di Kuantan pagi ini meningkat kepada 2,987 orang, berbanding 2,502 malam tadi. Sebanyak 14 pusat perpindahan banjir kini beroperasi di seluruh daerah terbabit.
Di Rompin, 1,639 mangsa banjir ditempatkan di 15 pusat perpindahan. Mereka adalah dari 382 keluarga, termasuk satu keluarga baru di Kampung Aur yang dipindahkan pagi tadi.
Setakat ini hanya Sungai Kampung Kadak dekat Jalan Muadzam Shah-Segamat mencatatkan kenaikan paras air setinggi 13.75 meter.
Di Maran, keadaan banjir masih tidak berubah berbanding malam tadi dengan jumlah mangsa banjir seramai 16 orang dari Kampung Ulu Luit dan Kampung Bak Bak.
Bagaimanapun, keadaan banjir di Kelantan beransur pulih, dengan tiada lagi bencana banjir terbaru dilaporkan, manakala mangsa banjir sudah kembali ke rumah masing-masing petang semalam.
Mangsa banjir yang terakhir meninggalkan pusat perpindahan sementara di Kelantan ialah di Gua Musang petang semalam, membabitkan 32 orang.
Keadaan semakin baik
Di jajahan lain tiada laporan mangsa yang dipindahkan akibat banjir sehingga pagi ini, tetapi pihak berkenaan masih memantau keadaan.
Di Terengganu, 222 mangsa banjir di daerah Kuala Terengganu dan Kemaman masih ditempat di pusat pemindahan sehingga jam 8 pagi ini. Jumlahnya berkurangan berbanding 239 malam tadi.
Daripad jumlah itu, 191 orang dari kampung Kuala Ibai Kuala Terengganu, manakala selebihnya dari Kampung Teladas Kemaman.
Beberapa batang jalan negeri ditutup kepada semua kenderaan di Terengganu kerana dinaiki air. Bagaimanapun semua jalan persekutuan masih boleh dilalui.
Di Kemaman, jalan Sungai Pinang ke Pasir Gajah ditenggelami air sedalam 1.5 meter sejauh 245 meter, manakala laluan sejauh 50 meter di Km27 Batu 14 Air Putih dinaiki air sedalam 0.5 meter, dan kedua-dua jalan itu ditutup kepada semua kenderaan.
Di Hulu Terengganu, jalan Kuala Berang ke Felda Mengkawang (Kampung Pengkalan Ajal) juga ditutup kepada semua kenderaan kerana laluan sejauh 100 meter di jalan berkenaan dinaiki air sedalam 1.3 meter.
Laluan sejauh 1 kilometer antara Kampung Tok Kah dan Jerangau (Kampung Papan) dinaiki air sedalam 1.1 meter, dan ditutup kepada semua kenderaan.
Air laut pasang
Paras air di beberapa sungai utama di seluruh negeri Terengganu seperti di Kemaman, Setiu dan Dungun semakin meningkat pagi ini, tetapi keadaan cuaca di seluruh negeri Terengganu beransur baik dan tidak ada lagi angin kencang serta hujan lebat sejak malam tadi.
Sementara itu, beribu-ribu pengguna jalanraya terkandas selama beberapa jam di kedua-dua hala jalan utama Kuantan-Terengganu berhampiran Paka (Terengganu) apabila air pasang membanjiri jalan itu sejak pukul 9 malam tadi.
Keadaan di laluan itu dijangka bertambah buruk malam ini apabila air pasang dari Laut China Selatan diramalkan mencapai tahap maksimum.
Polis terpaksa mengawal lalulintas dan menasihatkan pemandu supaya tidak meneruskan perjalanan sehingga air pasang itu surut kira-kira lima jam kemudian.
Bagaimanapun sebilangan pemandu yang tidak menghiraukan nasihat, meneruskan perjalanan mereka tetapi terhenti juga, akibat kenderaan mereka terendam sedalam kira-kira setengah meter.
Laluan itu memang mudah dibanjiri air pasang musim tengkujuh kerana ia selari dengan pinggir pantai dan Sungai Paka.

