Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Isu berkenaan Felda menjadi modal utama di sepanjang kempen PRN Johor bagi membolehkan semua pihak yang terlibat memenangi hati pengundi di kawasan tanah rancangan berkenaan.

Felda dibangunkan pada 1956 melalui pembiayaan kerajaan Persekutuan, Bank Dunia dan institusi kewangan lain dengan nilai RM8.7 bilion. Felda kemudian berjaya melunaskan pinjaman semuanya pada 2000 terdapat pinjaman yang tempoh matangnya ialah pada 2020.

Pada 2009 Felda mula membuat pinjaman di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk program tanam semula dan pelaburan FGV Holdings Bhd (FGV) serta Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Pada 2018 hutang terkumpul Felda meningkat kepada RM10.67 bilion berbanding RM1.5 bilion pada 2009.

FGV disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2012 walaupun mendapat tentangan daripada sebahagian warga peneroka kerana kaedah penyenaraiannya yag dipertikaikan.

Ia juga dianggap merisikokan sumber kewangan Felda.

Kebimbangan itu akhirnya menjadi kenyataan apabila laporan kewangan pada 2017 merekodkan kerugian sehingga RM4.9 bilion serta beban hutang RM12 bilion.

Usaha pemulihan berterusan

Isu hutang peneroka dibangkitkan sejak awal 2000 oleh NGO generasi Felda. Pada 2015 tuntutan memuktamadkan hutang peneroka semakin kuat dengan gerakan beberapa NGO dari generasi Felda.

Proses tuntutan itu berjalan dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk agensi berkaitan audit dan kewangan.

Laporan Ketua Audit Negara yang berakhir pada 31 Dis 2018 merumuskan bahawa sejumlah RM6 bilion yang direkodkan sebagai hutang peneroka tidak dapat dikenal pasti dan disahkan.

Nilai itulah yang menjadi keraguan dan pertikaian di antara peneroka dan generasinya dengan pihak pengurusan Felda.

Pada 10 April 2019, Kertas Putih Felda dibentangkan di Parlimen oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi ketika itu, Azmin Ali, merangka beberapa langkah pemulihan termasuk memuktamadkan hutang peneroka.

Kerajaan selepasnya menyaksikan usaha memuktamadkan hutang peneroka diteruskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed dan Pengerusi Felda Idris Jusoh.

Akhirnya penghapusan hutang peneroka dapat dilaksanakan melalui pengumuman perdana menteri ketika itu, Muhyidin Yassin pada 15 Julai 2021 ketika sambutan Hari Peneroka Kebangsaan.

Langkah pemulihan itu ditambah lagi dengan penerbitan sukuk bernilai RM9.9 bilion serta usaha pengambilalihan FGV. Ia adalah langkah yang besar dan berani daripada Idris.

Peneroka dan generasi kemudian masih menunggu penyata kewangan Felda bagi 2019, 2020 dan 2021 untuk memastikan penghapusan yang dibuat bvenar-benar terzahir dalam laporan kewangan.

Mereka juga menunggu penyata kewangan interim dan tahunan sebagaimana termaktub dalam perjanjian tanam semula yang telah mereka tandatangani.

Pada tahun ini usaha pemulihan diteruskan lagi melalui Belanjawan 2022 apabila Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan peruntukan RM1.3 bilion untuk pakej pemulihan dan program pembangunan peneroka.

Kembali ke landasan asal

Melalui garis masa ini, warga Felda boleh menilai siapa sebenarnya juara. Ianya juga menunjukkan bahawa semua yang terlibat dalam kerajaan - sepanjang proses pemulihan, sama ada pemulihan urus tadbir dan juga sosioekonomi peneroka - adalah usaha merentasi sempadan politik kepartian.

Hal itu kerana semua pihak bersetuju bahawa Felda perlu dipulihkan daripada kerosakan yang sudah berlaku.

Felda bukan gagal, tetapi ia dirosakkan oleh masalah tadbir urus dan kepentingan individu atau pihak tertentu pada satu tempoh yang singkat.

Pada hari ini, warga Felda telah matang dengan pengalaman. Semua proses pemulihan dilakukan dengan libat urus di semua peringkat. Menjadi tanggungjawab bagi sesiapa sahaja yang menjadi kerajaan untuk memastikan proses pemulihan berkenaan diteruskan.

Ia perlu bagi mengembalikan Felda ke landasan asal serta kegemilangannya.

Warga Felda menghargai dan menyokong segala usaha yang dibuat oleh kerajaan yang peka dengan mereka sama ada kerajaan hari ini, sebelumnya atau yang akan datang.

Hero sebenar Felda ialah warga Felda itu sendiri jika mereka cakna dan sentiasa bermuafakat agar tiada pihak dapat mengambil kesempatan sehingga memungkinkan kerosakan yang pernah berlaku kembali berulang.

Warga Felda juga perlu memastikan pelan pemulihan terus berjalan serta mereka yang dipilih dapat membawa suara warga Felda di dalam DUN Johor kelak.

Selamat mengundi bangsa Felda Johor.


RAUZAN ESA ialah generasi kedua Felda Sungai Sibol dan generasi ketiga Felda Sri Jaya, Bukit Serampang di Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS