Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kancil terbakar di stesen minyak disyaki seludup petrol

Pihak polis mengesyaki kebakaran melibatkan kereta Perodua Kancil di sebuah stesen minyak di Rantau Panjang, hari ini, mempunyai kaitan dengan aktiviti penyeludupan minyak petrol secara haram.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin Md Nasir, berkata ia dibuktikan apabila terdapat tong plastik terbakar disyaki untuk mengisi minyak petrol bagi diseludup ke negara jiran, Thailand.

Menurutnya, hasil temu bual saksi mendapati ketika kejadian, suspek lelaki berusia 36 tahun yang juga pemandu kereta itu sedang mengisi minyak sebelum kebakaran berlaku dan terus bertindak melarikan diri.

"Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan mendapati ia milik seorang individu yang berasal dari Kampung Padang Tembusu di Tumpat, namun suspek yang memandu kereta ini adalah penduduk tempatan di Rantau Panjang.

"Pegawai dan anggota yang bertugas sudah dimaklumkan mengenai insiden ini, justeru suspek terus dikesan bagi tujuan tangkapan dengan kadar segera.

"Kes disiasat dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan sebuah kereta Perodua Kancil dan pam minyak terbakar dalam kejadian di sebuah stesen minyak kira-kira jam 8.30 pagi tadi.

Sementara itu Mohd Nasaruddin berkata aktiviti penyeludupan petrol menjadi kesalahan sekali gus tindakan akan diambil kepada mereka yang menjalankan kegiatan terbabit.

"Selain itu, orang ramai perlu sentiasa peka dengan pematuhan keselamatan di semua stesen minyak kerana ia adalah lokasi yang berbahaya dan terdedah dengan kejadian kebakaran sebegini," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS