mk-logo
Berita
'Letak jawatan MP jika keluar PAS' - timbalan ketua pemuda kongsi baiah
Diterbitkan:  Mar 14, 2022 9:47 PM
Dikemaskini: 2:20 PM

Beberapa jam selepas Khairuddin Aman Razali mengumumkan keluar parti, Timbalan Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden membangkitkan semula ikrar baiah yang dilafazkan semua yang menjadi calon dalam pilihan raya.

Baiah itu antara lain menyentuh tentang perlunya mematuhi pimpinan selagi tidak bercanggah dengan Islam serta jika meninggalkan parti setelah menang dalam pilihan raya.

"Dan bahawa saya bersumpah dengan nama Allah, Wallahi Wabillahi Watallahi, sekiranya saya meninggalkan atau melompat ke parti lain dengan kerelaan saya sendiri setelah terpilih menjadi ahli Dewan Negeri/Dewan Rakyat, maka saya akan dilaknat oleh Allah, Rasul, orang yang beriman serta sekalian yang melaknat," menurut baiah itu seperti yang dikongsi Afnan, dalam Facebooknya hari ini.

Afnan berkata, ikrar tersebut dilafazkan di depan saksi dalam kalangan pimpinan tertinggi PAS, dalam satu acara sebelum penamaan calon.

"Ini adalah lafaz baiah semua calon PAS yang telah dipilih menjadi calon dalam mana-mana pilihan raya.

"Moga Allah melindungi kita semua daripada penyakit-penyakit hati, memberi ketabahan menempuh ujian dan mendorong kita untuk terus istiqamah," kata Afnan.

Dia bagaimanapun tidak merujuk sebarang nama secara khusus.

Berikut adalah ikrar penuh baiah seperti yang dikongsi Afnan:

"Bahawa saya (sebut nama sendiri) berikrar untuk patuh kepada hukum Allah dan Rasul-Nya dan patuh kepada arahan pucuk pimpinan parti selagi mana tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

Dan bahawa saya bersumpah dengan nama Allah, Wallahi Wabillahi Watallahi, sekiranya saya meninggalkan atau melompat ke parti lain dengan kerelaan saya sendiri setelah terpilih menjadi ahli Dewan Negeri/Dewan Rakyat, maka saya akan dilaknat oleh Allah, Rasul, orang yang beriman serta sekalian yang melaknat.

Dan segala perbelanjaan saya dengan menggunakan wang elaun ahli dewan tersebut setelah saya meletak jawatan atau dipecat adalah haram.

Dan bahawa saya juga bersumpah dengan nama Allah, wallahi wabillahi watallahi, untuk meletakkan jawatan dari menjadi ahli dewan negeri / dewan rakyat tersebut apabila saya keluar atau dipecat dari parti.

Wallah 'ala ma aqulu syahid, dan Allah bersaksi atas apa yang saya tuturkan ini."

Dalam sidang media petang tadi, Khairuddin turut berkata akan menyerahkan semua elaun bulanan sebagai ahli parlimen kepada PAS sehingga PRU15, bagi memenuhi baiah yang dibuatnya.

Lihat Komen
ADS