Mamak berani berniaga di mana sahaja...
Restoran mamak tumbuh macam cendawan selepas hujan. Di mana-mana sahaja 'mamak' berani berniaga dan jarang sekali didengari cerita restoran mamak gulung tikar.
Restoran mamak tumbuh macam cendawan selepas hujan. Di mana-mana sahaja 'mamak' berani berniaga dan jarang sekali didengari cerita restoran mamak gulung tikar.
Malah pernah kita lihat di tapak yang sama, restoran Melayu dibuka dan akhirnya terpaksa ditutup akibat kerugian, tetapi apabila premis itu diambil alih oleh 'mamak', ia maju dan menjadi popular.
Apa sebabnya? Apakah rahsianya? Apa istimewanya restoran mamak hingga mampu berkembang dengan rangkaian di seluruh negara?
Sebenarnya, banyak yang menarik mengenai rahsia kejayaan 'mamak' ini. Pengusaha restoran mamak adalah perintis kepada peniagaan restoran 24 jam di negara ini.
Dari taraf sebuah 'warung' atau 'gerai' kini restoran mamak telah mengangkat martabatnya menyamai restoran atau 'bistro' berkonsep ala-barat.
Restoran mamak kini bukan lagi tempat 'lepak' golongan berpendapatan rendah tetapi menjadi pusat 'yuppies', golongan profesional, tokoh korporat dan keluarga, berkumpul sambil menikmati sup, roti canai dan tentunya teh tarik dengan disajikan tayangan langsung bolasepak dari Astro.
Untuk makluman anada, bisnes 'mamak' ini menjana kira-kira RM4 bilion setahun dengan seramai kira-kira 100,000 pekerja? Bahagian kedua Laporan khas malaysiakini ini cuba menyingkap asal-usul mamak.
Tempat mula bertapak
Bagaimana pula dengan asal usul 'mamak'? Nun...jauh di Utara, masyarakat India Muslim Pulau Pinang adalah tempatnya. Di sinilah masyarakat tersebut mula-mula bertapak sejak zaman penjajahan British pada kurun ke-16 lagi.
Asalnya, sekumpulan orang India dari Kerala yang datang ke Pulau Pinang untuk bekerja di pelabuhan dan ladang getah di pulau tersebut dan Seberang Prai.
Akhirnya mereka menetap di Pulau Pinang, sama ada dengan membawa isteri dari India atau berkahwin dengan orang Melayu. Generasi campuran India-Melayu ini dikenali sebagai 'mamak'.
Pengaruh komuniti 'mamak' ini sangat besar di Pulau Pinang dan Kedah terutamanya dalam sosio-budaya dan bahasa. Dari segi bahasa, ungkapan seperti 'depa, mai dan hang' datang dari pertuturan komuniti India Muslim. Kini ia menjadi dialek penduduk bahagian utara Malaysia.
Daripada menjadi kuli di ladang getah dan pelabuhan, mereka berkembang menjadi komuniti perniagaan yang berpengaruh. Mereka membuka kedai emas, perniagaan runcit dan gerai makan serta restoran "nasi kandar".
Kini perniagaan komuniti ini menjadi satu kebanggaan dan ikutan di negara ini.
Barangkali ramai yang tidak tahu secara mendalam mengenai kehidupan sebenar masyarakat India Muslim (mamak) melainkan tentang perniagaan restoran, pengurup wang dan gemar berpakaian warna putih.
Budaya hidup
Tetapi bagaimana masyarakat India Muslim berkahwin, budaya hidup mereka, perhubungan sesama masyarakat dan sebagainya, kurang didedahkan.
Kata orang, untuk menyelami masyarakat India Muslim, Pulau Pinang adalah tempatnya. Di sinilah masyarakat tersebut mula-mula bertapak sejak zaman penjajahan Briitish pada kurun ke 16 lagi.
Keluarga Burhan Beevee N.S Oli Mohamaed,62, seorang peniaga di Kampung Makloom, Georgetown telah menceritakan mengenai kehidupan sebenar masyarakat India Muslim.
Menurutnya, sekumpulan orang India dari Kerala datang ke Pulau Pinang untuk bekerja di pelabuhan dan ladang getah.
"Akhirnya mereka menetap di sini (Pulau Pinang) sama ada dengan membawa isteri dari India atau berkahwin dengan orang Melayu dan di kalangan penduduk tempatan ia dikenali sebagai mamak," katanya.
Pada zaman dahulu, katanya, kaum Indiaa Muslim sangat berbangga jika mendapat menantu kelahiran Malaysia (Makaya ketika itu).
Bagaimanapun, katanya, pada peringkat awal orang Melayu memandang serong kepada mereka dan memanggil mereka 'keling' yang bermaksud orang hitam.
Adat perkahwinan
Di kalangan masyarakat, mereka telah membentuk 'trademark' sendiri di dalam serba serbi aspek kehidupan, termasuk termasuk penggunaan bahasa pertuturan harian. Depa, Mai dan Hang merupakan bahasa pertuturan India Muslim tetapi kini turut digunakan secara meluas oleh penduduk bahagian utara Malaysia..
Satu perkara yang perlu diketahui ialah masyarakat keturunan India Muslim di Pulau Pinang masih lagi mengamalkan cara hidup yang diamalkan oleh saudara mereka di India dan aspek yang paling ketara ialah dalam bidang perkahwinan.
Masyarakat India Muslim lebih mengutamakan saudara mara dalam perkahwinan mereka. Biasanya urusan itu dilakukan sepenuhnya oleh orang tua, anak mereka cuma mengikut sahaja.
Ibu bapa sepupu akan mengikat perjanjian di kalangan anak mereka sejak kecil lagi dan apabila usia menginjak dewasa mereka pun dikahwinkan. Bagi lelaki dewasa ialah berumur 21 tahun dan wanita 16 tahun.
Sebelum berkahwin mereka bertunang dalam tempoh masa yang telah dipersetujui. Bagaimanapun, pertunangan tidak boleh melebihi tiga bulan daripada yang dijadualkan dan jika tempohnya terlebih, ikatan pertunangan diputuskan.
"Di dalam masyarakat India, tidak ada istilah bercinta walaupun telah bertunang. Kalau bercinta mesti ada restu. Tetapi kalau pilihan lain, bakal menantu mesti ada darah keturunan India sedikit sebanyak," katanya lagi.
Pantang larang
Satu pantang yang masih dipegang kuat adalah tidak boleh `menyimpan' anak dara terlalu lama. Jika dahulu, mereka dikahwinkan seawal usia 13 tahun tetapi kini usia 23 tahun adalah umur paling maksimum bagi `anak mami' untuk membujang. Bagaimanapun, keistimewaan ini hanya diberi kepada gadis yang meneruskan pengajian di universiti.
Oleh itu, tidak hairanlah istilah anak dara tua (andartu) tidak wujud di kalangan masyarakat India Muslim. Jika ada anak dara tua, mereka tidak akan dibenarkan keluar rumah oleh ibu bapa bagi menghindarkan rasa malu akibat diperli masyarakat setempat.
Hari perkahwinan selalunya diserikan dengan jamuan secara besar-besaran iaitu hidangan nasi beriani sebagai menu utama kepada tetamu. Kalau di India tetamu makan empat orang setalam tetapi di Pulau Pinang cara itu sudah ditinggalkan.
Pesta perkahwinan pula dirayakan selama tiga hari tiga malam termasuk kenduri dan majlis berinai pengantin perempuan. Selepas tiga hari perkahwinan pengantin wanita akan bertandang ke rumah mentua dan tinggal di sana sehingga mereka berpindah.
Walapun zaman telah berubah namun adat tradisi ini masih kekal kukuh di kalangan masyarakat India Muslim meskipun ada perubahan sedikit sebanyak.
Oleh itu pada hari ini masih kelihatan wanita India Muslim yang memakai sari seperti wanita Tamil. Bagaimanapun, pengaruh Hindu sudah semakin berkurangan kerana masyarakat India Muslim dikenali sebagai kuat beragama.

