Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Kecoh lepas ahli DAP sambut Najib guna sepanduk 'kemaluan negara'

Penyokong Najib Razak berbalah dengan sekumpulan anggota DAP setelah mereka mengadakan protes terhadap bekas perdana menteri itu di Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

Kumpulan itu yang diketuai ahli jawatankuasa Pemuda DAP Bukit Mertajam, Lim Zheng Han membawa sepanduk bertulis "Bossku kemaluan negara".

Namun protes itu hanya berlangsung selama 20 minit sebelum Najib tiba di Medan Selera Insa Dunia di situ.

Ini selepas bantahan mereka dihentikan oleh penyokong Najib, kata Lim kemudiannya kepada Malaysiakini.

Menurut Lim, mereka mengadakan sidang media petang ini dan mengecam parti pemerintah termasuk MCA kerana sentiasa menyokong Najib yang telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah.

“Sebagai bekas perdana menteri yang telah dilabel sebagai 'kemaluan negara', parti pemerintah terutamanya MCA masih menyokong beliau, tetapi mereka tidak mempunyai moral politik,” katanya.

Berdasarkan video yang dirakam oleh DAPSY, lapan anggota DAP yang menyertai protes itu dihalang tiga lelaki yang memakai baju "Bossku".

Salah seorang daripada mereka yang berada dalam keadaan emosi memarahi ahli DAP: “Hari ini tiada apa-apa politik …… kalau nak bercakap tentang politik, pergi jauh”.

“Jangan cakap pasal politik! Bagaimana pula dengan skandal projek terowong bawah laut? Adakah kamu bersikap selektif dalam soal rasuah?” katanya.

Dia dipercayai merujuk kepada kes rasuah yang dikaitkan dengan projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang yang melibatkan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.

Sementara itu, seorang lagi penyokong Najib menyifatkan acara itu sebagai "acara persendirian" dan meminta mereka yang melakukan protes agar beredar.

Mereka dihalang daripada memberi kenyataan kepada pihak media, manakala kain rentang turut dirampas oleh penyokong Najib.

Lim dengan berat hati mengisytiharkan protes itu tamat dan meneriakkan "Tolak Najib", "Tolak Pencuri" sebelum beredar.

Lagu "Bossku" berkumandang

Salah seorang peserta protes dilihat ditolak oleh mereka.

Malaysiakini difahamkan individu itu sedang menimbang untuk membuat laporan polis.

Najib kemudian tiba dengan lagu "Bossku" dimainkan dan disambut dengan tarian singa.

Bekas perdana menteri itu mengadakan lawatan ke Pulau Pinang dalam usaha mendapatkan sokongan daripada masyarakat Cina di negeri itu.

Dia menyampaikan ucapan sebagai penceramah utama dalam Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan Antarabangsa Pulau Pinang ke-2 dan bertemu dengan pemimpin masyarakat Cina Pulau Pinang.

Lihat Komen
ADS