Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isteri bekas pegawai Goldman beri keterangan dalam perbicaraan 1MDB

Isteri bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng semalam memberi keterangan dalam perbicaraan terhadap suaminya di Amerika Syarikat berhubung penyelewengan ratusan juta dolar daripada dana kekayaan negara, 1MDB antara 2009 dan 2014.

Ng (di atas) yang merupakan bekas eksekutif Goldman di Malaysia, didakwa bersubahat melakukan pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang antirasuah.

Pendakwa raya berkata dia membantu bekas bosnya, Tim Leissner menggelapkan wang daripada 1MDB, mencuci hasil dan merasuah pegawai untuk mendapatkan perniagaan bagi Goldman.

Ng, 49, mengaku tidak bersalah dengan mengatakan kira-kira AS$35 juta (RM147 juta) yang diterimanya daripada Leissner, yang disifatkan pendakwa sebagai sogokan, sebenarnya merupakan hasil usaha perniagaan antara kedua-dua isteri mereka.

Isteri Ng, Hwee Bin Lim, memberi keterangan pada Isnin bahawa sejurus selepas Ng mula bekerja untuk Leissner pada pertengahan 2000-an, dia melaburkan 48 juta yuan - kira-kira AS$6 juta pada masa itu - di sebuah syarikat China yang dimiliki oleh keluarga isteri Leissner, Judy Chan.

Keterangan Lim dibuat pada hari kedua kes pembelaan dalam perbicaraan yang bermula pada awal Februari.

Lim berkata dia dan Chan bertengkar pada 2011, dan Chan memberitahunya untuk melepaskan pegangan sahamnya.

Dalam keterangannya Lim berkata pada 2012, Chan memberitahunya yang dia bersedia untuk membuat pemindahan sebanyak AS$26 juta.

Ketika ditanya oleh peguam Ng, Marc Agnifilo sama ada wang yang dikatakan Chan akan dihantar kepada Lim datang daripada 1MDB, Lim menjawab, "Tidak sama sekali."

"Ia mesti datang daripada Judy dan keluarganya," kata Lim.

Seorang peguam Chan tidak segera menjawab permintaan untuk mendapatkan komen.

Leissner, yang pada 2018 mengaku bersalah atas pertuduhan yang sama, memberi keterangan pada Februari bahawa pelaburan Lim yang dibuat dalam perniagaan Chan adalah "cerita" yang direka olehnya dan Ng untuk menjelaskan bayaran sogokan supaya dana yang diproses bank tidak mencurigakan.

Tuduhan itu berpunca daripada salah satu skandal kewangan terbesar dalam sejarah, di mana pendakwa raya AS mengatakan AS$4.5 bilion daripada AS$6.5 bilion yang dikumpul Goldman untuk 1MDB telah dialihkan kepada pegawai kerajaan, pegawai bank dan rakan sekutu mereka melalui rasuah dan sogokan.

Goldman pada 2020 membayar denda hampir AS$3 bilion dan mengarahkan supaya cawangannya di Malaysia mengakui kesalahan itu di mahkamah AS.

- Reuters

Lihat Komen
ADS