PAS tidak relevan lagi di Tganu, kata Umno
PAS tidak mempunyai peluang untuk merampas semula Terengganu dari Barisan Nasional (BN) kerana rakyat negeri itu gembira dengan kerajaan pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh, selain telah menolak parti itu.
PAS tidak mempunyai peluang untuk merampas semula Terengganu dari Barisan Nasional (BN) kerana rakyat negeri itu gembira dengan kerajaan pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh, selain telah menolak parti itu.
Setiausaha Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, kerajaan Umno telah melakukan apa yang tidak mampu dibuat oleh PAS sepanjang empat tahun memerintah Terengganu.
PAS memerintah Terengganu selepas pilihanraya umum 1999 tetapi tewas pada 2004, dengan hanya empat wakil dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Mungkin bagi pemimpin PAS, apa yang dibuat oleh kerajaan hari ini umpama mimpi bagi mereka," katanya merujuk kepada pelbagai pembangunan dan faedah yang diberikan kepada rakyat negeri itu.
Beliau diminta mengulas kenyataan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali bahawa parti itu mampu merampas semula negeri itu dalam pilihanraya umum akan datang, ekoran timbulnya beberapa isu termasuk dakwaan kerajaan negeri tidak menyalurkan wang untuk manfaat rakyat, merujuk kepada projek-projek seperti di Pulau Duyung tempat berlangsungnya pertandingan Piala Monson.
Rosol berkata, kerajaan negeri telah menaikkan kadar elaun guru agama dari RM300 kepada RM500 sebulan sejak dua tahun lalu, membina 4,000 rumah setahun melalui Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) setahun, serta membaiki lebih 5,000 rumah rakyat miskin secara percuma.
Oleh itu, kata Rosol yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, PAS kini sudah tidak relevan kepada rakyat Terengganu.
Katanya, pimpinan PAS, termasuk presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah ditolak rakyat dan pengaruh parti itu kini menuju ke peringkat 'hampir pupus'.
Mahu perubahan
"Malah Umno yakin akan merampas empat kerusi DUN milik PAS Rhu Rendang, Manir, Wakaf Mempelam dan Batu Burok dalam pilihanraya umum akan datang.
"Kami mendapat isyarat dari penduduk bahawa mereka mahu BN mewakili kawasan mereka dalam pilihanraya umum akan datang," katanya.
Dalam pada itu, Rosol mencabar pemimpin PAS Terengganu supaya membuat laporan polis dan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) jika mempunyai bukti bahawa kerajaan BN Terengganu menyeleweng dan menipu rakyat.
Menurutnya, apa yang menjadi pegangan dan amalan pentadbiran kerajaan negeri ialah ketelusan dan tanggungjawab dalam pentadbirannya.
"Usah bercakap kosong dengan mendakwa pelbagai keburukan kerajaan negeri tetapi gagal memberikan sebarang bukti," katanya lagi.
Rosol berkata, PAS menang di Terengganu dalam pilihanraya umum 1999 kerana faktor pemecatan beka Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September 1998.
Bagaimanapun, katanya, kini segalanya telah berubah, terutama setelah kerajaan negeri berjaya memenuhi semua kehendak rakyat.
Menurutnya, pengaruh Anwar sebagai penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga tidak mampu untuk menggugat BN di Terengganu.

