KDN rampas Harakah
Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KDN) mempertahankan tindakannya merampas akhbar rasmi PAS Harakah kerana mendakwa penerbitnya telah melanggar syarat-syarat dalam permitnya.
Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KDN) mempertahankan tindakannya merampas akhbar rasmi PAS Harakah kerana mendakwa penerbitnya telah melanggar syarat-syarat dalam permitnya.
Seorang pegawai unit penguatkuasa kementerian berkenaan berkata, akhbar tersebut telah melanggar dua klaus dalam permit penerbitannya.
"Dua klaus tersebut adalah tambahan kepada permit tersebut berkuatkuasa 2006 iaitu, ia hanya boleh dijual kepada ahli-ahli PAS dan di pejabat PAS sahaja bukannya kepada orang ramai," katanya kepada malaysiakini.
Pihak kementerian, katanya, telah menghantar surat kepada mereka yang didapati menjual Harakah kepada orang ramai.
Beliau mengulas dakwaan Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman bahawa Harakah terbitan Disember telah dirampas kerana ia menyiarkan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memegang tangan pelakon Datuk Michelle Yeoh.
Lutfi telah menulis dalam kolumnya di Harakahdaily.net bahawa nashkah tersebut dirampas di Subang, Bangi, Ampang, Chow Kit, Masjid India dan Terengganu.
Tunggu maklumat
Ketika dihubungi, Ahmad Lutfi berkata: "Tidak ada sebab mengapa Harakah dirampas. Jika boleh, kita mahu melaporkan mengenainya kepada polis."
Bagaimanapun, katanya, beliau belum bercakap dengan para pengedar dan hanya mendapat tahu mengenainya daripada kakitangannya di kawasan terbabit.
"Saya sedang menunggu maklumat lanjut mengenai perkara ini," katanya.
"Pihak kementerian bertindak kejam kerana merampas Harakah. Sudahlah bilangan keluarannya telah dikurangkan daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan," katanya sambil bertanya, mengapa pihak kerajaan begitu bimbang dengan Harakah, sedangkan akhbar itu tidak lagi 'menggigit' kerajaan.
Katanya, Harakah telah hilang fungsinya sebagai sebuah 'akhbar' kerana syarat-syarat ketat yang dikenakan bersama permitnya, yang akan tamat Mac ini. Berita asal

