DUN Kelantan l Kerajaan negeri Kelantan menjelaskan pihaknya tidak menjual tanah kepada rakyat seperti yang didakwa, sebaliknya tanah kerajaan dilupuskan untuk diberi milik kepada rakyat.

Menteri Besar Ahmad Yakob berkata dakwaan terbabit adalah tidak benar kerana kerajaan negeri tidak berbuat sedemikian dan ia adalah satu kesalahan.

"Kerajaan lupus tanah untuk diberi milik kepada rakyat dengan mengenakan bayaran premium . Jika rasa mahal, mereka boleh membuat rayuan untuk pengurangan (premium).

"Apa yang pasti, kita tidak jual tanah kepada rakyat,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14, di Kota Bharu, hari ini.

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Mohd Adhan Kecik (BN-Bukit Bunga) berhubung dasar kerajaan negeri dalam pemberian tanah berikutan terdapat dakwaan mengatakan kerajaan negeri menjual tanah kepada rakyat.

Sementara itu, Ahmad yakob (PAS-Pasir Pekan) berkata, kerajaan juga memperkenalkan pelaksanaan pengurangan bayaran premium.

Menurutnya, mana-mana penduduk yang merasakan bayaran premium perlu dibayar itu tinggi, mereka boleh membuat rayuan untuk mendapatkan pengurangan.

"Boleh buat cadangan mengikut keadaan orang yang membuat rayuan. Kadang-kadang kita terkena dengan mereka yang sudah berduit.

"Namun mereka yang kurang berkemampuan boleh membuat rayuan dengan mengemukakan alasan sebelum rayuannya diangkat untuk perbincangan.

"Menerusi perbincangan itu, kita akan membuat keputusan berapa banyak pengurangan yang dikenakan kepada pemohon," katanya ketika menjawab soalan yang dikemukakan Abdul Aziz Yusoff (BN-Nenggiri).