Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Debat: Anwar berpantun, Najib kata 'game on'
Diterbitkan:  Apr 4, 2022 12:08 PM
Dikemaskini: 8:11 AM

Bagai pucuk dicita ulam yang mendatang - Anwar Ibrahim hari ini menerima cabaran Najib Razak untuk berdebat mengenai usaha menyelamatkan (bail out) syarikat Sapura Energy Bhd (Sapura Energy).

Dalam kenyataan dikeluarkan tengah hari ini, Anwar berkata dia pernah mencabar Najib sejak sedekad lalu namun ia tidak bersambut.

"Saya bersedia untuk berdepan dan berdebat demi negara dan rakyat pada bila-bila masa dengan Najib," katanya.

Ahli parlimen Port Dickson dan Presiden PKR itu turut mengiringi kesanggupannya dengan serangkap pantun:

Tuan Puteri pergi ke Lukut,
Bawa pulang kacang panjang;
Sedikit pun hamba tak takut,
Kalau berani turun gelanggang.

Najib kata ‘game on’

Dalam reaksi segeranya, Najib berkata dia setuju untuk berdebat dengan Anwar.

"Game on. Saya setuju debat dengan Anwar. Let's rock!

"Saya minta pasukan Anwar dan Rafizi aturkan dengan media sekiranya ada yang berhasrat untuk siarkan secara langsung," katanya di Facebook.

Dia juga meminta mereka berhubung dengan pembantunya untuk mencari tarikh yang sesuai bagi debat itu diadakan.

Isu gesaan Najib agar kerajaan menyelamatkan Sapura Energy asalnya melibatkan ahli parlimen Pekan itu dengan bekas ahli parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Antara isu yang dipertikaikan mereka ialah kewajaran ketua pegawai eksekutifnya yang diberikan gaji yang begitu lumayan.

Menurut Rafizi pada Mac lalu, Najib - sebagai perdana menteri ketika itu - gagal menjaga kepentingan institusi awam melalui Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) yang menjadi pemegang saham dalam syarikat tersebut.

Meneliti rekod kewangan Sapura Energy, Rafizi berkata, seorang pengarah eksekutif yang mewakili pemegang saham majoriti meraih hampir RM1.1 bilion dari 2009 hingga 2021 dalam bentuk gaji, bonus, sewa, yuran harta intelek dan bentuk imbuhan lain.

Perbalahan itu kemudian membawa kepada cabaran Rafizi kepada Najib agar mereka berdebat mengenai langkah berkenaan.

Ia kemudian dipersetujui oleh Najib namun bekas perdana menteri itu turut mengajar agar Anwar dilibatkan sama.

Langkah itu dianggap Rafizi sebagai petanda Najib takut untuk berdebat. Namun pada masa sama dia - yang menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan timbalan presiden PKR kali ini - berjanji untuk memanjangkan cabaran tersebut.

Kata Anwar dia bersikap sama seperti yang diambilnya pada 10 tahun lalu dan pernah mencabar Najib.

Pada awal Ramadan ini, kata Anwar, Najib memilih untuk mencabarnya setelah dia gagal menjawab sanggahan Rafizi mengenai kemelut bail out Sapura yang dicadangkan ketika ramai rakyat miskin dan para peniaga kecil tidak terbela.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS