Thailand kini diselubungi khabar angin mengenai kemungkinan berlakunya rampasan kuasa terbaru ekoran maklumat yang menunjukkan insiden pengeboman di Bangkok pada 31 Disember lalu tidak dilakukan oleh puak militan dari wilayah selatan.

Menteri Pertahanan Jen Boonrawd Somtas pula mendakwa "lelaki beruniform" yang melakukan serangan itu kerana bukan ramai orang mempunyai kemahiran membuat dan meletupkan bom.

Semalam, Panglima tentera Thailand Sonthi Bunyaratglin telah menafikan khabar angin bahawa rampasan kuasa terbaru bakal berlaku malam tadiini, beberapa jam selepas Perdana Menteri Surayud Chulanont memberi amaran lebih banyak serangan akan berlaku ekoran insiden pengemboman sehari sebelum Tahun Baru itu.

Media tempatan memetik Sonthi sebagai berkata spekulasi yang bertiup kencang di ibu negara bahawa batalion Second Army yang berpusat di Nakhon Ratchasima sedang digerakkan ke Bangkok, sebagai tidak benar.

Sonthi ialah pemimpin yang mengetuai penggulingan kerajaan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra pada 19 September lalu, demikian menurut laporan Bernama.

Insiden pengeboman

Stesen televisyen Channel 5 yang dikuasai oleh tentera dalam siaran beritanya melaporkan tidak akan pergerakan tentera seperti itu manakala akhbar hairan "Daily" menyatakan ia akan menyediakan perkembangan terkini mengenai situasi itu.

Terdahulu, Surayud memberitahu Majlis Undangan Kebangsaan bahawa rakyat Thai harus bersedia menghadapi lebih banyak insiden pengemboman pada masa depan.

Katanya keterangan yang dikumpul selepas kejadian pengemboman yang mengorbankan tiga orang dan mencederakan 38 yang lain pada 31 Disember lalu menunjukkan ia tidak dilakukan oleh puak militan dari wilayah selatan.

Sehingga ini tiada suspek ditahan dalam insiden pengeboman itu.