Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang menggesa Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein supaya menjelaskan mengapa Pelan Pembangunan Pendidikan 2001-2010 yang mencadangkan perubahan besar dalam sistem pendidikan negara, tidak dilaksanakan.

Katanya, pelan pembaharuan tersebut diumumkan oleh Menteri Pelajaran sebelum ini, Tan Sri Musa Mohamad, yang antara lain, mencadangkan:

  • Sistem P-12, yang didefinasikan sebagai pra-sekolah dan 12 tahun persekolahan, bagi memendekkan sistem persekolahan selama 13 tahun sekarang.
  • Memendekkan tempoh persekolahan peringkat menengah daripada lima kepada empat tahun.
  • Memansuhkan Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi pelajar tingkatan tiga.
  • Melaksanakan jurusan sastera dan sains dalam tingkatan dua, dan bukannya ketika tingkatan empat.

Bagaimanapun, kata Lim, tidak satupun daripada empat cadangan tersebut dilaksanakan oleh Hishammuddin (kiri) sejak tiga tahun menjadi Menteri Pelajaran, selepas pilihanraya umum 2004.

Pada Oktober 2001, katanya, Musa dilaporkan berkata sistem persekolahan P-12 perlu diperkenalkan secepat mungkin demi kebaikan para pelajar.

Sistem P-12

"Mengenai justifikasi perubahan tersebut, Musa berhujah bahawa sistem pendidikan 13 tahun tidak lagi diamalkan di negara-negara lain.

"Katanya, sistem pendidikan di negara lain merangkumi tempoh 12 tahun sahaja dan Malaysia juga perlu berbuat demikian bagi meningkatkan tahap persaingan pelajar supaya setanding dengan rakan-rakan mereka di sebarang laut," kata Lim satu kenyataan hari ini..

Menurut Musa (kanan), kata Lim, terdapat banyak sistem persekolahan 12 tahun yang digunakan di seluruh dunia dan Malaysia hanya perlu mewujudkan sistemnya yang sendiri.

"Sehubungan itu, kata Musa, terdapat cadangan supaya Malaysia mengikut sistem 3+3+4+2 yang diamalkan di Singapura, iaitu tiga tahun persekolahan peringkat rendah, diikuti dengan tiga tahun persekolahan peringkat rendah tinggi, empat tahun sekolah menengah dan dua tahun matrikulasi.

"Melalui sistem P-12 itu, pelajar akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selepas 10 tahun persekolahan, dan tidak perlu lagi PMR yang pada mulanya digunakan sebagai kayu pengukur prestasi pelajar di tahap pertengahan persekolahan peringkat menengah," katanya.

Penilaian peringkat sekolah

Dengan pemansuhan PMR, penekanan akan diberikan kepada penilaian peringkat sekolah dan bukan lagi kaedah penilaian berpusat 'yang tidak lagi popular'.

Apabila sistem baru dilaksanakan sepenuhnya, kementerian akan mengarahkan setiap sekolah mengaakan peperiksaan peringkat sekolah. Jika diperlukan, Kementeriapan Pelajaran akan mengadakan peperiksaan mini-pusat di peringkat daerah atau negeri.

"Selama tiga tahun Hishammuddin menjadi Menteri Pelajaran, tiada apa yang didengar mengenai pelan tersebut, yang diluluskan oleh Kabinet pada 2001, termasuk Hishammuddin sendiri.

"Tanpa membincangkan pro dan kontra langkah pelan pembangunan pendidikan 2001-2010 itu, maka Kementerian Pelajaran bersikap tidak bertanggungjawab selepas menumpukan begitu banyak masa dan usaha untuk mendraf plan tersebut, mendapatkan kelulusan kabinet, tetapi akhirnya dibakulsampahkan apabila menteri pelajaran bertukar," kata Lim.

Oleh itu, katanya, penjelasan yang memuaskan tentang apa yang telah berlaku kepada pelan pembangunan pendidikan 2001-2010, perlu diberikan jika rakyat Malaysia hendak mengambil serius draf Rangka Tindakan baru Pendidikan Nasional 2006-2010' yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Jumaat akan datang.