Loke gesa siasatan telus insiden pesawat MAS 'menjunam'
Bekas menteri pengangkutan Anthony Loke menggesa kerajaan mengumumkan hasil siasatan berhubung insiden cemas membabitkan pesawat Malaysia Airlines yang dilaporkan menjunam seketika baru-baru ini.
Pesawat Malaysia Airlines MH2664 berlepas dari Kuala Lumpur pada 3 April untuk menuju ke Tawau sebelum berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana dikatakan mengalami masalah "teknikal".
"Insiden tersebut perlu disiasat dengan mendalam oleh pihak berkuasa penerbangan awam Malaysia (CAAM). Saya yakin pihak CAAM telah pun memulakan proses siastannya.
"Untuk memberi keyakinan kepada orang ramai, hasil siasatan tersebut perlu diumumkan secara telus.
"Saya menyeru Menteri Pengangkutan untuk memberi komitmen terbuka supaya siasatan bebas dijalankan dan sebarang hasil siasatan diumumkan dalam tempoh terdekat,” kata Loke dalam kenyataan.
Terdahulu tiga penumpang yang menaiki pesawat berkenaan hari ini meminta Malaysia Airlines Berhad serta CAAM menjalankan siasatan telus berhubung insiden tersebut.
Mereka juga tidak bersetuju dengan kenyataan syarikat penerbangan itu pada Selasa lepas yang menyatakan, pesawat itu berpatah balik ke KLIA disebabkan keadaan cuaca buruk.
Abdul Rahim Awang Nong berkata keadaan cuaca pada ketika itu baik dan juruterbang juga memadamkan lampu isyarat tali pinggang.
Katanya, kejadian berlaku ketika pramugari sedang menghidangkan makanan sebelum pesawat tiba-tiba hilang kawalan.
“Saya yakin kedudukan pesawat menjunam, ketika itu saya hanya ingat mati dengan penumpang lain menjerit dan menangis ketakutan,” katanya.

