Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sarawak akan keluarkan dokumen sementara buat individu tanpa kerakyatan

Kerajaan Sarawak akan mengeluarkan dokumen sokongan sementara buat individu bawah 21 tahun di negeri ini yang belum mempunyai dokumen kewarganegaraan mengikut kelayakan mereka.

Dokumen sokongan tersebut bagi membantu mereka memohon mendapatkan akses pendidikan dan kesihatan di negeri ini sementara memohon dokumen kewarganegaraan Malaysia yang terletak di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata ini kerana kerajaan Sarawak sedar individu tanpa dokumen kewarganegaraan atau ‘stateless person’ akan menghadapi masalah memohon untuk mendapatkan kemudahan itu.

Katanya pendidikan dan kesihatan merupakan hak asasi manusia dan kerajaan negeri bersedia membantu mereka.

"(Oleh itu) Pejabat Premier Sarawak (bersetuju) mengeluarkan satu dokumen sokongan sementara bagi menyokong mereka yang (bertaraf) ‘stateless person’ serta individu yang layak untuk mendapatkan akses pendidikan dan kemudahan kesihatan di negeri ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan acara Kesedaran Autisme Persatuan Autisme Kuching (KAA) di Pustaka Negeri Sarawak, Petra Jaya, hari ini.

Fatimah bagaimanapun menegaskan surat dokumen sokongan terbabit bukan satu janji bagi mendapatkan status kewarganegaraan Malaysia.

Beliau turut tidak mendedahkan bila pengeluaran dokumen sementara itu akan dikuatkuasakan tetapi memaklumkan satu jawatankuasa akan ditubuhkan bagi meneliti permohonan dan pengeluaran dokumen tersebut.

Menurutnya dokumen berkenaan diharap dapat membantu kanak-kanak yang berstatus bukan warganegara atau status warganegara belum ditentukan kerana perkahwinan tidak teratur ibu atau bapa mereka dengan warga asing.

"Ramai (kanak-kanak terbabit) didapati daripada keluarga miskin dan kami amat bimbang sekiranya mereka ini tidak mendapat pendidikan," katanya.

Beliau berkata tanpa pendidikan, kanak-kanak terbabit akan sukar mendapat pekerjaan dan seterusnya akan meneruskan putaran kemiskinan keluarga.

- Bernama

Lihat Komen
ADS