Lebih 2,000 orang berhimpulan di sepanjang Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) semalam kerana membantah kenaikan kadar tol di lima lebuhraya raya di Lembah Klang.

Bantahan selama dua jam itu bermula di kawasan di depan pusat membeli-belah Sunway Pyramid yang turut menarik perhatian beratus-ratus orang ramai yang lalulalang di situ.

Mereka menuntut kerajaan supaya menarik balik kenaikan kadar tol itu serta mendedahkan perjanjian dengan syarikat konsesi lebuhraya terbabit.

Kira-kira 500 anggota polis, termasuk dari unit anti-rusuhan Pasukan Simpanan Persekutuan, berkawal di sekitar kawasan tersebut.

Mulai 1 Januari lalu, kadar tol bagi kereta di lima lebuhraya terbabit dinaikkan antara 20 hingga 60 peratus. Tol di lebuhraya LDP dinaikkan dari RM1 kepada RM1.60 (Klip video) .

Empat lagi lebuhraya terbabit ialah Lebuhraya Shah Alam, Lebuhraya Cheras-Kajang, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Koridor Guthrie.

Pehimpunan bantahan semalam dianjurkan oleh parti-parti politik, badan bukan kerajaan, kesatuan sekerja dan pertubuhan sivil masyarakat.

Polis sekat perarakan

Protes tersebut bermula kira-kira jam 4 petang dengan seramai 500 orang berkumpul di luar pintu masuk utama pusat membeli-belah itu.

Anggota keselamatan pusat membeli-belah itu kelihatan secara baik mengawal orang ramai dis itu untuk membolehkan pengunjung masuk dan keluar dari pusat tersebut.

Selepas ucapan selama 30 minit oleh para pemimpin pembangkang dan aktivis, mereka mula bergerak menuju ke plaa tol LDP. Ekoran itu, kira-kira 20 anggota unit anti-rusuhan bergerak untuk menghalangkan perarakan tersebut.

Akhirnya pihak penganjur memutuskan untuk berhimpun di kawasan di depan Taman Perniagaan Mentari, yang terletak di sebelah Sunway Pyramid, selepas pihak polis sekali lagi bertindak menghalang mereka.

Ketika itu, mereka yang menyertai perhimpunan itu sudah mencecah lebih 1,000 orang manakala anggota lagi Unit Simpanan Persekutuan (FRU) tiba di situ.

Mereka yang menyertai bantahan itu membawa kain rintang mendesak supaya kadar tol baru itu dikurangkan.

Tiada tangkapan

Pada masa yang sama, orang ramai yang turut menyaksikan bantahan itu juga semakin bertambah di mana beratus-ratus berada di jambatan lintasan di situ manakala beratus-ratus lagi menyaksikan dari sebelah Lebuhraya Pantai Baru (NPE).

Polis terus mengawal kawasan itu dan beberapa kali secara baik meminta mereka berdiri di tepi laluan. Anggota polis anti-rusuhan juga berbaris di sepanjang laluan pejalan kaki bagi mengawal orang ramai yang lalulalang di situ. Sebuah trak meriam air polis juga bersiap sedia di situ.

Sementara itu, ketua polis daerah Subang, ACP Muhd Fuad Talib berkata, polis akan menyiasat perhimpunan tersebut yang diadakan tanpa kebenaran.

Bagaimanapun, beliau tidak menjangka sebarang tangkapan dibuat berhubung perhimpunan itu.

"Ini kerana mereka mematuhi arahan [...] dan ia berjalan dengan teratur. Mereka tidak mengancam nyawa atau hartabenda, itu yang menjadi keutamaan kami (melindunginya)," kata Muhd Fuad ketika ditemui selepas mereka yang menyertai perhimpunan itu beredar dari situ. Berita asal