Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membayangkan adalah sukar bagi penggantinya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mengulangi kejayaan cemerlangnya dalam pilihanraya umum yang lalu.

Dalam pilihanraya umum 2004, sejurus selepas menggantikan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, Abdullah memenangi 90 peratus kerusi Parlimen.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, Abdullah akan terpaksa menanggung kesan daripada dasar-dasar yang dilaksanakan oleh pentadbirannya dalam pilihanraya umum yang dijangka diadakan pada 2008 atau lebih awal.

Bercakap dalam sidang akhbar bagi mengumumkan Sidang Damai Global bagi tahun ini, Dr Mahathir berkata, 'mood' rakyat sudah berbeza dan tidak sama seperti dahulu.

Dr Mahathir juga berkata, pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Talam hujung bulan ini menjadi pengukur kepada populariti kerajaan BN sekarang.

Katanya, jika pengundi gembira, maka majoriti bagi BN mungkin meningkat, tetapi jika mereka tidak gembira, maka majoritnya mungkin merosot.

Tetapi katanya, jika pengundi amat tidak gembira dengan kerajaan BN sekarang, maka calonnya mungkin tewas.

Politik wang

Sambil menegaskan bahawa pada umumnya rakyat Malaysia masih menyokong kerajaan, Dr Mahathir berkata, mereka berpeluang untuk menunjukkan sokongan mereka sewaktu pilihanraya kecil Batu Talam.

Suruhanjaya pilihanraya (SPR) telah menetapkan 16 Januari ini sebagai hari penamaan calon dan jika berlaku pertandingan, hari pengundian ditetapkan pada 28 Januari, ekoran kematian wakil rakyat BN, Tengku Paris Tengku Razlan pada 27 Disember lalu kerana penyakit barah.

Dr Mahathir berkata, pilihanraya kecil itu akan mencerminkan 'mood' rakyat terhadap kerajaan serta mengingatkan, BN mungkin cuba menggunakan politik wang untuk memenangi pilihanraya kecil tersebut.

Katanya, beliau telah mengalami sendiri pengalaman tersebut apabila ada pihak yang menggunakan wang untuk menewaskannya.

Oleh itu, katanya, rakyat mesti menolak dan melaporkannya jika berlaku politik wang dalam pilihanraya kecil itu nanti.

Dr Mahathir merujuk kepada pertandingan jawatan perwakilan Umno bahagian Kubang Pasu pada 9 September lalu di mana beliau gagal dipilih mewakili bahagian itu ke perhimpunan agung Umno di Kuala Lumpur.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa berlaku politik wang yang mengakibatkan beliau tewas dalam pertandingan tersebut. Lembaga Disiplin Umno sedang menyiasatkan dakwaan tersebut.

'Gagal penuhi janji'

Dr Mahathir juga mendakwa, Abdullah telah gagal memenuhi janji-janji yang dibuatnya sewaktu pilihanraya umum 2004.

Beliau turut mengkritik peruntukan RM600 juta untuk kontraktor Kelas F. Pada 13 November lalu, sehari sebelum perhimpunan agung Umno, Abdullah mengumumkan peruntukan itu sebagai tambahan kepada peruntukan RM1.5 bilion bagi pembangunan luar bandar di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9).

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussin kemudian memberitahu pemberita bahawa setiap kawasan Parlimen akan menerima RM3 juta daripada peruntukan RM600 juta itu, bagi membantu kontraktor Kelas F.

Dr Mahathir berkata, adalah salah untuk kerajaan memberi peruntukan kepada parti, terutama parti kerajaan.

Sebaliknya, kata beliau, peruntukan itu mesti diberikan kepada semua orang dan jika ia tidak dilakukan melalui saluran rasmi, dan terhad kepada satu parti politik sahaja, maka ia melanggar undang-undang.

Bekas Perdana itu yang mengkritik hebat pentadbiran Abdullah sebelum ini, turut menyentuh pelbagai isu dalam sidang akhbar selama 45 minit itu.