Polis tahan lelaki warga asing sengaja cederakan diri dalam kemalangan
Pihak polis menahan seorang lelaki warga asing yang dipercayai dengan sengaja mencederakan diri dalam kemalangan jalan raya di Klang baru-baru ini.
Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Klang Utara, Vijaya Rao Samachalu berkata, pihaknya menerima satu laporan polis dari seorang lelaki tempatan pada Khamis lalu, yang mengatakan seorang lelaki tiba-tiba meluru ke arah kereta yang dipandunya dan melompat ke arah cermin hadapan.
“Selepas kemalangan itu berlaku, pengadu memaklumkan kepada pejalan kaki yang melanggar keretanya itu bahawa kenderaannya terdapat rakaman kamera papan pemuka.
“Pejalan kaki tersebut terus beredar dari lokasi kemalangan, dan hanya mengalami kecederaan kecil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pihak polis menahan lelaki berumur 25 tahun itu di Rantau Panjang, Klang pagi tadi dan kini direman untuk siasatan lanjut.
Kes diklasifikasi di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain.
Terdahulu, kejadian kemalangan itu turut tular menerusi satu video berdurasi 45 saat, yang dimuat naik di laman sosial Facebook semalam.

