Batu Talam: Mengapa MB Pahang tambah senarai calon?

Muda Mohd Noor        

Pemilihan calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Batu Talam telah menimbul persoalan mengapa Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob menambah dua lagi calon kepada senarai lima orang calon yang dicadangkan oleh Umno bahagian tersebut.

Umno bahagian Raub yang diketuai oleh Exco Negeri, Datuk Shaharuddin Abd Moin telah menyerahkan senarai nama lima pemimpin bahagian tersebut untuk dipilih sebagai calon BN dalam pilihanraya kecil itu nanti.

Senarai tersebut telah diserahkan kepada Adnan yang juga Pengerusi Umno dan BN Pahang Khamis lalu. Lima calon tersebut ialah Timbalan Ketua Umno Bahagian Raub, Datuk Mustaffar Kamal Abdul Hamid; Naib Ketua, Datuk Ir Azinuddin Abdul Rahim; Ketua Wanita, Juriah Hashim; Ketua Pemuda, Tengku Abdul Rahman Tengku Perang dan Setiausaha bahagian Raub, Abdul Aziz Mat Kiram.

Bagaimanapun, difahamkan senarai akhir yang diserahkan oleh BN negeri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang juga pengerusi BN, mengandungi dua lagi nama tambahan yang dicadangkan oleh Adnan sendiri.

Seorang daripada mereka adalah ahli jawatankuasa Umno bahagian Raub, Abdullah Abu Bakar.

Pilihanraya kecil Batu Talam diadakan berikutan kematian wakilnya, Datuk Tengku Razlan Tengku Paris pada 27 Disember lalu. Suruhanya Pilihanraya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada 16 Januari dan hari pembuangan undi pada 28 Januari.

Ketika dihubungi malaysiakini, Abdullah percayai Menteri Besar mempunyai sebab untuk menambah dua lagi calon yang tidak dicadangkan oleh Umno bahagian tersebut.

Faktor calon

Katanya, ini kerana faktor calon menjadi penentu utama kemenangan BN dalam pilihanraya kecil Batu Talam nanti.

Abdullah berkata, beliau sendiri tidak tahu yang namanya telah dipilih oleh Menteri Besar untuk ditambah dalam senarai calon yang dikemukakan oleh bahagian Raub.

Katanya, beliau turut menghadiri mesyuarat Umno bahagian Khamis lalu di mana Shaharuddin telah mengumumkan nama lima calon pilihan bahagian itu yang kemudiannya diserahkan kepada Adnan yang turut hadir.

Ketika menerima senarai tersebut, katanya, Menteri Besar berkata beliau tidak terikat untuk senarai calon pilihan bahagian berkenaan dan boleh mencadangkan calon-calon lain, termasuk dari luar bahagian.

Selepas mesyuarat tersebut, kata Abdullah, beliau dimaklumkan oleh jawatankuasa bahagian bahawa namanya dan seorang lagi dari luar Raub, turut disenaraikan oleh Menteri Besar untuk dikemukakan kepada Perdana Menteri.

Ketika diminta mengulas mengenai perkara itu, Abdullah berkata, tindakan Menteri Besar itu mungkin kerana tidak semestinya calon yang dicadangkan oleh bahagian menepati dan diterima oleh pengundi Batu Talam.

"Daripada pemerhatian kami, dua atau tiga senarai calon yang dipilih oleh bahagian dan diberikan kepada Datuk Seri Adnan baru-baru ini tidak popular di kalangan masyarakat setempat.

Isu anak peneroka

"Ini bermakna, jika calon terbabit dipilih untuk bertanding, BN akan menghadapi masalah untuk mendapatkan kemenangan dalam pilihanraya kecil Batu Talam nanti.

"Jika pembangkang menggunakan isu ini, BN akan menghadapi laluan sukar dan tidak mustahil pembangkang akan menang," katanya.

Mengenai isu yang mungkin dibangkitkan oleh pembangkang, Abdullah berkata, kerajaan perlu menyelesaikan isu 200 anak peneroka yang belum ditempatkan di tanah rancangan walaupun pemilihannya telah dibuat sejak 10 tahun lalu.

Ada tiga kawasan Felda di Batu Talam Felda Tersang Satu, Tersang Dua dan Tersang Tiga.

Abdullah juga menjelaskan isu-isu nasional seperti kenaikan harga minyak, krisis di antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak menjejaskan keyakinan pengundi kepada BN.

Katanya, ini kerana hampir kira-kira 90 peratus dari 10,000 pengundi di kawasan Batu Talam merupakan golongan petani, termasuk 2,000 peneroka Felda.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In