Tol: MCA diingatkan akibatnya terhadap pilihanraya
Jika wakil rakyat MCA parti komponen kedua terbesar Barisan Nasional (BN) gagal menangani isu kenaikan kadar tol, mereka akan menanggung akibatnya dalam pilihanraya umum yang akan datang, kata seorang pemimpin bahagian parti itu.
Jika wakil rakyat MCA parti komponen kedua terbesar Barisan Nasional (BN) gagal menangani isu kenaikan kadar tol, mereka akan menanggung akibatnya dalam pilihanraya umum yang akan datang, kata seorang pemimpin bahagian parti itu.
Beliau yang tidak mahu namanya disebut berkata, ahli-ahli akar umbi parti itu tidak berpuashati dengan sikap wakil rakyat MCA yang berdiam diri berhubung isu tersebut.
"Mereka kata mereka ada penyelesaiannya. Jika kita buat bising, mereka akan tuduh kita cetuskan masalah bagi mereka. Jika mereka tidak selesaikan masalah ini, mereka akan tanggung akibatnya dalam pilihanraya umum akan datang," tambahnya.
Ketua bahagian berkenaan mengulas kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting yang membenarkan ahli-ahli parti itu menyertai bantahan kenaikan kadar tol.
Menurutnya, perasaan tidak puas hati yang semakin meningkat di kalangan pengundi di Lembah Klang boleh mengancam kawasan yang diwakili MCA dalam pilihanraya umum akan datang.
Kawasan-kawasan yang dijangka terjejas, katanya, adalah kerusi Parlimen Petaling Jaya Utara dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan tersebut Kampung Tunku dan Damansara Utama.
Semalam, akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau memetik Ong sebagai berkata, ahli-ahli MCA tidak dilarang untuk membangkitkan rasa tidak puashati rakyat.
Beliau menegaskan demikian ketika diminta mengulas protes anti-kenaikan kadar tol anjuran Pemuda MCA Puchong pada 31 Disember lalu.
Bukan cara kita
Walaupun telah mendapat lampu hijau, bahagian-bahagian MCA dijangka tidak akan mengadakan demonstrasi bantahan.
Ketua bahagian MCA Subang, Lee Wei Kiat berkata, walaupun mereka tidak bersetuju dengan kenaikan kadar tol itu, tetapi mengadakan bantahan bukan caranya untuk menyuarakan pandangan mereka.
"Kita akan salurkan (pandangan mereka) melalui wakil rakyat MCA di peringkat Parlimen dan negeri dan melalui saluran dalaman parti," katanya.
Ditanya mengenai demonstrasi yang diadakan oleh MCA bahagian Puchong, Lee berkata, objektifnya sama, tetapi bahagian berkenaan memilih cara yang berlainan.
"Kita perlukan saluran-saluran yang berbeza untuk menyuarakan pandangan kita, oleh itu kita menghormati cara mereka melakukannya. Ia adalah hak demokrasi ahli-ahli parti untuk menyuarakan pandangan mereka," katanya.
"Kita tidak akan menghalang mereka daripada menyertai protes-protes awam," tegasnya apabila ditanya sama ada bahagiannya akan melarang ahli-ahlinya daripada menyertai protes seumpama itu.
Kenyataan Presiden MCA itu disambut baik oleh Ketua MCA bahagian Puchong, Theng Book.
"Ini menunjukkan presiden kita memahami perasaan rakyat. Kepentingan rakyat mesti diutamakan," katanya ketika dihubungi.
Bagaimanapun, beliau menolak sebarang kemungkinan untuk bekerjasama dengan parti-parti pembangkang dalam isu tersebut.
"Walaupun tujuannya sama, tetapi pendekatan yang kita gunakan berbeza," katanya.
'Gimik politik'
Sementara itu, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua menyifatkan kenyataan Presiden MCA itu hanya satu 'gimik politik'.
"Kita mengalu-alukan ahli-ahli MCA untuk turut sama dalam demonstrasi kita sebagai rakyat biasa, tetapi sebagai parti pemerintah yang kedua terbesar, MCA mesti menyalurkan mesej rakyat melalui kabinet," katanya.
Menurut laporan media, Ong berkata, para menteri MCA telah membangkitkan isu itu dalam kabinet dan ekoran itu kerajaan telah mengurangkan kadar baru tol dari RM2.10 kepada RM1.60 bagi Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP).
Bagaimanapun Tian tetapi tidak yakin. Menurutnya, kerajaan masih membelanjakan wang pembayar cukai untuk membayar pampasan mengikut jumlah yang sama kepada syarikat konsesi mengikut perjanjian konsesi.
Menurut dokumen yang didakwa merupakan salinan perjanjian konsesi antara kerajaan dengan operator LDP, kerajaan perlu membayar pampasan kepada syarikat konsesi jika ia mahu mengurangkan kadar tol tidak kira sama ada syarikat tersebut mencatat keuntungan atau sebaliknya.
Pada 14 Disember lalu, kerajaan mengumumkan kadar tol bagi lima lebuhraya LDP, Lebuhraya Shah Alam, Lebuhraya Cheras-Kajang, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Koridor Guthrie dinaikkan 20 hingga 60 peratus berkuatkuasa 1 Januari.
Keputusan itu telah mencetuskan bantahan pelbagai pihak. Ahad lalu, ribuan orang menyertai perhimpunan di pusat membeli-belah Sunway Pyramid sebagai membantah kenaikan kadar tol itu. Berita asal

