Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ketum, ganja perubatan: PM teliti keputusan kabinet lepas - Khalid

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob difahamkan dalam proses menyemak semua keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini berhubung rawatan alternatif menggunakan ketum dan ganja perubatan.

Langkah itu diambil selepas pertemuan rasmi Kaukus Ganja dan Ketum Perubatan Parlimen minggu lalu bersama perdana menteri, kata salah seorang ahli kaukus berkenaan, Khalid Samad (PH-Shah Alam).

"Langkah pertama kerajaan semasa hari ini adalah mereka mahu menyemak kembali semua keputusan yang diputuskan kabinet yang lepas.

"Mereka (kerajaan) juga mahu mengenalpasti tanah yang akan digunakan untuk menanam tanaman tersebut dan sebagainya, yang telah dikenal pasti sebelum ini. Jadi, mereka nak semak semula semua yang kita nyatakan itu daripada nota-nota dan minit mesyuarat kabinet (PH).

"Selepas itu, jika ia sudah diperolehi mereka akan cuba dapatkan keputusan dan persetujuan daripada kabinet hari ini untuk diputuskan dan diteruskan apa yang telah PH usahakan.

"Dia (perdana menteri) minta supaya banyak lagi pendedahan berhubung perkara ini dilakukan untuk masyarakat umum supaya masyarakat tidak terkejut dengan tren mahupun cadangan dan pendekatan yang kita cadangkan," katanya kepada Malaysiakini.

Khalid berkata demikian mengulas perkembangan terkini selepas pertemuan kaukus Parlimen berkenaan dengan Ismail di Pejabat Perdana Menteri (MPMO) pada 12 April lalu.

Menurut kaukus ahli parlimen rentas parti itu sebelum ini, Ismail memberikan maklum balas positif dan berjanji akan membincangkan serta memperhalusi isu-isu berkaitan dengan lebih teliti dalam mesyuarat kabinet.

Dalam pertemuan itu, kaukus berkenaan juga membincangan isu-isu dasar berkaitan industri hem, ganja untuk tujuan perubatan dan ketum untuk kegunaan di Malaysia.

Turut dibangkitkan ialah isu berkaitan rakyat Malaysia yang didakwa di mahkamah dan disabitkan kesalahan kerana penggunaan ganja untuk tujuan perubatan.

Kaukus itu terdiri daripada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar), Azalina Othman Said (BN-Pengerang), Dr Xavier Jayakumar (Bebas-Kuala Langat), Ignatius Darell Leiking (Warisan- Penampang), Kelvin Yii (PH-Bandar Kuching), Dr Azman Ismail (PH-Kuala Kedah) dan Khalid sendiri.

Mengulas lanjut, Khalid berkata pihak kaukus juga optimis dengan pertemuan terbabit dan memberikan respon positif.

Lebih-lebih lagi katanya, ganja perubatan dan ketum boleh menjadi sumber pendapatan baru khasnya kepada masyarakat luar bandar.

“Macam di Kedah jika dibenarkan pokok ketum dijual kepada pemnbeli berlesen, maka ia boleh membawa banyak keluarga keluar daripada paras kemiskinan. Benda ini dah ada tetapi orang tak boleh buat kerana ia bercanggah dengan undang-undang.

"Jadi kalau kita tentukan bahawa penjualan itu dibuat hanya kepada orang tertentu, syarikat tertentu atau badan berlesen dan sebagainya, maka ia akan menjadi sumber pendapatan baru.

“Memang PM seronoklah dengar perkara itu kerana ia boleh selesaikan masalah masyarakat kampung khususnya di Utara," katanya.

Jelas Khalid, pihaknya juga akan memaklumkan perkembangan tersebut selain bercadang membawa usul ke sesi sidang Dewan Rakyat akan datang untuk dibincangkan lebih lanjut.

"Kita harap bahawa pada tahun ini juga akan ada keputusan-keputusan yang dapat dibuat ke arah membenarkan ia dilaksanakan," katanya.

Tambah Khalid, begitu juga dengan ketum Malaya yang dipasarkan di Eropah, namun tidak dapat dipasarkan di dalam negara.

"Negara sendiri tidak boleh jualnya (dalam negara) kerana kita tak dibenarkan sedangkan negara lain khususnya Thailand ambil ketum kita dan jualkannya.

"Jadi, kita rugi di situ daripada segi pendapatan.

“Semua ini kita bincang dan minta ia dilihat dari segi perundangannya, dasar untuk ke arah membenarkan penanaman dan industri yang terkawal,” katanya.

Lihat Komen
ADS