Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bukit Aman tarik semula arahan henti penguatkuasaan pelitup muka
Diterbitkan:  Apr 21, 2022 6:06 PM
Dikemaskini: 10:06 AM

Bukit Aman hari ini menafikan bahawa polis tidak akan lagi menguatkuasakan kewajipan memakai pelitup muka.

Ini berlaku selepas salinan pekeliling polis persekutuan yang memerintahkan semua formasi polis di negara ini untuk berhenti mengeluarkan kompaun terhadap mereka yang tidak memakai pelitup muka tular di media sosial.

Menurut dokumen yang bocor itu, polis sebaliknya hanya perlu menasihati pesalah supaya memakai pelitup muka.

Malaysiakini telah mengesahkan dengan beberapa sumber polis bahawa pekeliling itu adalah sah.

Difahamkan, dokumen bertarikh 20 April 2022 itu telah dihantar kepada semua polis negeri dan komander unit polis lain, termasuk ketua polis daerah.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Zaini Jass ketika dihubungi hari ini memberitahu Malaysiakini bahawa pekeliling itu telah ditarik balik.

"Tidak benar. Masih status quo. Kami masih meneruskan penguatkuasaan terhadap ketidakpatuhan SOP Covid-19," katanya ketika diminta mengesahkan pekeliling itu.

"Surat itu telah ditarik balik," tambah pesuruhjaya polis itu.

Terdahulu, gambar muka surat pertama pekeliling itu tular di media sosial.

Pekeliling itu menyatakan bahawa memandangkan negara sedang menuju ke fasa endemik, Majlis Keselamatan Negara telah mengeluarkan satu set prosedur operasi standard baru yang perlu dipatuhi oleh agensi penguatkuasaan undang-undang.

Perenggan 2.2 pekeliling itu berkata, "Tiada lagi saman akan dikeluarkan bagi kesalahan tidak memakai pelitup muka. Bagaimanapun, pasukan pemantau perlu memberi nasihat kepada mereka untuk memakai pelitup muka."

Lihat Komen
ADS