Kerajaan Sabah tidak sepatutnya bersetuju mengkaji semula pembiayaan kerajaan persekutuan untuk negeri itu tanpa mendapatkan pengiktirafan hak negeri di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Dalam satu kenyataan, Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (PH) Sabah berkata kerajaan negeri perlu menuntut kerajaan persekutuan memperakui bahawa kerajaan mempunyai hak ke atas 40 peratus hasil negeri di bawah Perlembagaan Persekutuan sebelum bersetuju untuk mengkaji semula kuantum pemberian khas di bawah Perkara 112D undang-undang yang sama.

"Kerajaan negeri Sabah sepatutnya mengambil pendekatan yang tegas dan menyelesaikan dan mendapatkan pengiktirafan terhadap kebolehgunaan formula 40 peratus terlebih dahulu sebelum bersetuju dengan sebarang kajian semula walaupun jika ia bermaksud bahawa perkara ini perlu dibawa dan diputuskan oleh mahkamah terlebih dahulu," kata gabungan itu.

Minggu lalu, Putrajaya menggunakan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan untuk mengadakan rundingan dengan kerajaan Sabah berhubung pembayaran geran khas.

Berikutan itu, kuantum itu dinaikkan kepada RM125.6 juta, iaitu 4.7 kali lebih tinggi daripada RM26.7 juta yang wujud sejak 1969.

Pengkritik telah berhujah bahawa langkah ini bertentangan dengan semangat Subseksyen 2(1) Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan jumlah pemberian khas Sabah hendaklah "dua perlima" daripada jumlah hasil bersih yang diperolehi oleh kerajaan Persekutuan.

PH Sabah berhujah bahawa perjanjian kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan telah menetapkan duluan berbahaya untuk semakan masa depan yang mungkin juga mengabaikan formula 40 peratus.

"Hal ini penting memandangkan jawapan yang diberikan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz di parlimen baru-baru ini menyatakan formula 40 peratus tersebut tidak lagi terpakai, yang mana pendirian tersebut dengan jelas bertentangan dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tafsiran berat sebelah oleh pihak kerajaan persekutuan dalam perkara ini akan memberi kesan yang boleh mengancam hak perlembagaan Sabah, yang mana hak tersebut telah dipersetujui sewaktu pembentukan Persekutuan Malausia hampir 59 tahun lalu," kata gabungan itu.