Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (kuasa-kuasa rayuan dan khas) membenarkan permohonan ahli-ahli Parti Rakyat Malaysia (PRM) untuk mencelah dalam kes semakan kehakiman di antara bekas Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), Dr Syed Husin Ali, lapan pemimpin bekas PRM yang lain, Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) dan Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri.

Naib Presiden PRM, Koh Swe Yong berkata, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Kuasa-kuasa rayuan dan khas), Datuk Ganga Dharan melulus permohonan ahli-ahli PRM itu setelah mendengar dalam kamar bantahan peguam yang mewakili Dr Syed Husin hujah-hujah peguam ahli-ahli PRM yang meminta untuk mencelah.

Dalam satu kenyataan semalam, Koh berkata, Peguam Persekutuan yang mewakili ROS, Puan Azizah tidak membantah.

Dr Syed Husin diwakili oleh Datuk Sulaiman Abdullah. Permohonan untuk semakan kehakiman itu dibuat melalui Tetuan Daim dan Gamany, manakala ahli- ahli PRM diwakili oleh peguam Wee Choo Keong, Palani dan Hassan Karim. Permohonan untuk mencelah pula dibuat melalui Hassan Karim & co.

Dr Syed Husin, Dr Sanusi Osman, Sivarasa Rasiah, Lam Yon Pang @ Lim Yoon Pang, Ban Ah Kam, Tai Kim Tat, Latheefa Beebi Koya, Faizal Sanusi dan Parti Rakyat Malayisa turut serta dalam permohonan untuk semakan kehakiman.

Ahli-ahli PRM yang memohon untuk mencelah ialah Koh Swe Yong, Zulkarnain Abdullah, M. Shariff Attan, Saleh Sikun, Mohd. Salleh Haji Ahmad, Abd Jalil Ahmad, Anpan, Tan Cheng Hong @ Tan Chin Hong, Chin Kooi Chong, Wong Yoke Yee @ Wong Hoy Chow.

Tiga perkara

Koh berkata, kebenaran itu dibuat atas tiga perkara. Pertama, peguam tidak menjawap affidvit beliau; kedua, kebenaran yang diberi tidak merugikan sesiapa. Ini hanya kebenaran untuk mencelah. Semakan kehakiman akan dibicarakan kelak.

Dan ketiga, Pendaftar Pertubuhan Malaysia telah menjawab surat Dr Sanusi yang bertarikh 14 April 2005.

Menurut Koh, surat Dr Sanusi memohon supaya dibatalkan perakuan pendaftaran nama pertubuhan Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Katanya, permohonan Dr Sanusi itu tidak dapat diberi pertimbangan kerana undang-undang berdaftar PRM tidak mempunyai peruntukan untuk membubarkan parti, oleh itu, peruntukan Akta Pertubuhan 1966 perlu dipakai.

Dengan keputusan tersebut, kata Koh, peguam ahli-ahli PRM akan mengambil bahagian dalam proses perbicaraan yang telah ditangguh sehingga 3 Ogos 2007.