Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zahid: Jangan derhaka ikut rentak musuh
Diterbitkan:  Apr 24, 2022 12:43 PM
Dikemaskini: 6:18 AM

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pemimpin parti itu supaya tidak "menderhaka" kepada parti dengan mengikut rentak musuh yang penuh dengan muslihat.

Meskipun tidak menyebut nama, kenyataan Ahmad Zahid dipercayai merujuk kepada Annuar Musa yang menganggap dokumen "PasLeak" bukan sesuatu yang luar biasa dan tidak perlu diperbesar.

Malah Zahid turut memuatnaik kenyataan Annuar di Facebooknya ketika mengulas isu berkenaan.

"Sudah pasti ahli parti setia akan sentiasa berwaspada setiap kenyataan, setiap langkah, pendirian dan tindak tanduk pemimpin mereka dan pemimpin lawan mereka.

"Ahli parti yang setia akan memastikan keutamaan parti sendiri adalah nombor satu manakala kepedulian parti luar lebih-lebih lagi yang telah mengkhianati muafakat parti tidak wajar diberikan tempat dalam keutamaan parti.

"Ketika musuh luar parti bermuslihat dan dengan licik cuba memperdaya parti lawan menggunakan pelbagai taktik dan strategi, kita sebagai orang parti dari ahli biasa ke peringkat bahagian parti perlu lebih bijaksana dalam membaca gerak geri lawan.

"Jangan pula tindak tanduk kita umpama musuh parti luar yang sama menari ikut rentak mereka," kata Ahmad Zahid dalam satu kenyataan, hari ini.

Kelmarin peguam yang mewakili Ahmad Zahid telah membuat laporan polis berhubung dokumen 'PASleak' yang mengandungi dakwaan campur tangan dalam proses kehakiman.

Ketua Polis Kontinjen Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim mengesahkan laporan itu telah diterima.

Peguam, Hisyam Teh Poh Teik berkata anak guamnya "terkejut" dengan kandungan dokumen itu yang bertajuk "laporan penglibatan politik pimpinan PAS pusat".

Teh berkata dokumen itu merujuk kepada anak guamnya, yang sedang menghadapi perbicaraan jenayah di Mahkamah Tinggi.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata jika sekali dua kenyataan bertentangan dengan dasar parti boleh dianggap kebetulan.

"Sekali dua kenyataan bertentangan dengan dasar parti dapatlah dianggap kebetulan, namun sudah beberapa kali itu namanya bukan kebetulan lagi!

"Sekali kita bersetia, janganlah berderhaka kepada parti. Tanpa parti tiadalah jawatan menteri atau lantikan politik," katanya.

Lihat Komen
ADS