Dua lelaki bersenjatakan bom tangan ditahan di KL
Polis menahan dua lelaki berhampiran Kedutaan Kuwait hari ini dan menemui sebutir tangan, tetapi polis menolak kemungkinan mereka merancang untuk melancarkan serangan keganasan.
Polis menahan dua lelaki berhampiran Kedutaan Kuwait hari ini dan menemui sebutir tangan, tetapi polis menolak kemungkinan mereka merancang untuk melancarkan serangan keganasan.
Kedua-duanya rakyat Malaysia dan ditahan sebelum Subuh selepas polis mengikuti kereta yang mereka naiki dan mengarahkannya berhenti di depan bangunan kedutaan tersebut di ibunegara.
"Mereka memiliki sebutir bom tangan, sepucuk pistoal buatan China dan sebilah pisau sepanjang sembilan inci," kata Ketua Polis Daerah, Mohamad Zulkarnian Abdul Rahman.
Katanya, kereta tersebut ditahan kerana mereka yang menaikinya berkelakuan mencurigakan dan disyaki mabuk.
"Kami memberhentikan kereta tersebut dan selepas memeriksa, kami menemui senjata tersebut," katanya kepada AFP.
"Bersebelahan Kedutaan Kuwait...secara kebetulan kami mengarahkan kereta itu berhenti di situ," katanya.
Bukan keganasan
Beliau berkata, lelaki terbabit sedang disoalsiasat mengenai senjata tersebut tetapi sasaran mereka bukan Kedutaan Kuwait atau Kedutaan Indonesia yang berhampiran.
"Ia bukan keganasan, mereka minum. Kami syaki mereka mahu melakukan jenayah tertentu, tetapi bukan untuk mengebom kedutaan berkenaan," katanya.
Kedutaan Kuwait juga menolak sebarang ancaman keganasan selepas bercakap dengan pihak polis.
"Menurut mereka, kedua-duanya penjenayah tempatan...Kami percaya dengan penjelasan mereka kerana ia adalah isu tempatan," kata Konsular di kedutaan tersebut, Ayman al Adsani.
"Tiada yang menunjukkan ia berkaitan dengan keganasan atau disasarkan terhadap kedutaaan kami," katanya kepada AFP.
Sementara itu, Bernama pula melaporkan seorang daripada mereka adalah bekas anggota skuad elit polis. Polis menemui sebutir bom tangan dan sepucuk pistol serta tujuh butir peluru dalam sebuah kereta yang mereka di Jalan Bukit Bintang di Kuala Lumpur awal hari ini.
Keadaan khayal
Bernama memetik Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC II Ahmad Ibrahim sebagai berkata, dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, dua anggota polis yang sedang meronda, terserempak sebuah kereta berhenti berdekatan sebuah stesen minyak.
Setelah memeriksanya, mereka mendapati ada dua lelaki dalam kereta itu, seorang daripadanya dalam keadaan khayal, disyaki dipengaruhi dadah.
Polis kemudian menemui sebutir bom tangan, sepucuk pistol jenis Norinco buatan China dan tujuh peluru di bawah kerusi pemandu kereta itu.
Ahmad berkata, bekas anggota polis berumur 35 tahun itu dan rakannya berusia 39 tahun, berasal dari Kuantan, dan kini ditahan mengikut Akta Senjata Api untuk siasatan lanjut.
"Mereka mengakui datang ke ibu negara atas tujuan perniagaan," katanya.

