Masyarakat petani bantah rundingan FTA dengan Amerika
Langkah menghapuskan semua bentuk percukaian di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Amerika, bakal menyaksikan beras murah dari negara ini akan membanjiri pasaran di negara ini, Jawatankuasa Bertindak Membantah FTA (Wilayah Utara).
Langkah menghapuskan semua bentuk percukaian di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Amerika, bakal menyaksikan beras murah dari negara ini akan membanjiri pasaran di negara ini, Jawatankuasa Bertindak Membantah FTA (Wilayah Utara).
Katanya, ini kerana beras dari Amerika disokong oleh subsidi yang tinggi dan dapat dijual di Malaysia pada harga 25 peratus di bawah kos pengeluaran.
Akibatnya, ia akan menjejaskan kehidupan 296,000 petani yang bergantung kepada padi sebagai sumber rezeki, kata jawatankuasa bagi mengulas rundingan FTA dengan Amerika pusingan keempat di San Francisco minggu ini.
Jawatankuasa itu Badan Bertindak Petani MADA, Badan Bertindak Petani Kedah, Muafakat Warga Desa, Jaringan Bertindak Nelayan Pantai Semenanjung, Sahabat Alam Malaysia (SAM), Lanjah Petani, Nelayan dan Pekerja dan wakil-wakil badan bukan kerajaan (NGO).
"Kita juga di maklumkan bahawa cukai beras Malaysia kini adalah pada kadar 40 peratus dan akan turun kepada 20 peratus pada 2010 dalam Kawasan Perdagangan Bebas Asean (Afta)," kata jawatankuasa tersebut dalam satu kenyataan hari ini.
"Pakar ekonomi telah menyatakan bahawa sukar bagi pengusaha beras di Malaysia untuk bersaing di bawah Afta pada kadar cukai 20 peratu. Jika cukai beras jatuh kepada sifar atas desakan Amerika dalam rundingan FTA ini, maka para petani di Malaysia pastinya tidak akan dapat bersaing beras subsidi Amierka yang diimport ke negara ini," katanya lagi.
Lindungi penduduk
Menurutnya, sektor beras di Malaysia kini dikawal bagi memastikan keselamatan hasil sumber makanan dan perlindungan kepada penduduk luar bandar.
"Lanjutan daripada itu dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9), kerajaan telah menetapkan bahawa hasil beras negara perlu mencapai sasaran 90 peratus pada tahun 2010 (dari 72 peratus dalam tahun 2005)," kata kenyataan itu lagi.
Katanya, walaupun surat telah dihantar kepada Kementerian Pertanian dan Industri Tani, tetapi pihanya masih lagi kabur tentang kedudukan kementerian tersebut dalam memastikan kadar pengeluaran domestik sektor beras Malaysia dan perlindungan untuk petani memandangkan permintaan Amerika dalam FTA supaya harga cukai padi turun hingga sifar .
"Kita dapati para petani di negara-negara lain yang telah termasuk dalam FTA dengan Amerika, telah hidup menderita dan kehilangan mata pencarian, sepertimana yang berlaku di Mexico di mana hampir dua juta petani kehilangan tanah mereka, dan lapan dari setiap 10 petani, hidup dalam kemiskinan, kesan FTA Amerika Utara," katanya.
Oleh itu, katanya, adalah tidak mungkin untuk petani Malaysia mengeksport lebih ke Amerika kerana pasaran produk negara itu dilindungi cukai-cukai yang mana Perwakilan Perdangan Amerika (USTR) tidak mempunyai kuasa untuk memberikan pengecualian (konsesi) ke atasnya dan pengurangan subsidi yang tidak menguntungkan negara itu.
Di samping itu, tambahnya, kerajaan Amerika juga bercadang mengeksport lebih banyak produk pertanian mereka ke Malaysia seperti padi, kacang soya, ayam dan daging.
"Buletin MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) pada 13 November 2006 menyatakan, kedua belah pihak sedang mempertimbangkan menghapuskan semua bentuk percukaian.
"Dalam pemerhatian kami, FTA dengan Amerika bukan sahaja memberi kesan dalam bidang perdagangan tetapi juga implikasi kepada mata pencarian dan kehidupan kami semua rakyat Malaysia, terutama masyarakat desa yang dijangka menerima kesan yang teruk," kata jawatankuasa itu lagi.
Kos sara hidup naik
Sebagai contoh, katanya, syarat-syarat harta intelektual lebih kukuh bermakna bahan kimia pertanian yang digunakan oleh petani berkemungkinan menjadi lebih mahal, kos sara hidup mungkin naik kerana barangan seperti ubat-ubatan diramalkan lebih mahal, dan kos pendidikan dan buku-buku mungkin meningkatkan.
"Produk hasil desa juga tidak akan dapat dilindungi dan insentif kepada usahawan kecil desa boleh dilihat sebagai halangan bukan cukai dalam FTA dengan Amerika ini.
"Kami sangat bimbang jika kerajaan Malaysia tidak membuat penilitian mendalam, terutama kajian kos faedah sebelum menerima FTA itu dan apabila perundingan terbabit diadakan secara tertutup, tiada sebarang maklumat didedahkan pada awam dan tidak berlaku sebarang perbincangan telus dengan petani," katanya.
Oleh itu, jawatankuasa berkenaan menggesa semua pihak dan kerajaan Malaysia supaya menghentikan rundingan lanjut FTA dengan Amerika itu, sehingga "kita mengetahui bagaimana kesannya kepada petani kita dan keselamatan pengeluaran makanan negara tidak dikompromikan dan kesannya kepada masyarakat luar bandar.
"Adalah tidak mencukupi dengan hanya memberi jaminan. Kita perlu mengetahui sama ada kerajaan telah membuat satu penilaian kos faedah yang terperinci bagi menunjukkan bahawa rakyat Malaysia akan mendapat faedah dan kepentingan para petani tidak tekecuali," tambahnya.

