Polis siasat peserta nyalaan lilin peringati Nagaenthran
Polis didakwa sedang menyiasat peserta majlis nyalan lilin anjuran Majlis Peguam Malaysia pada Selasa lalu, yang diadakan sebagai tanda setiakawan terhadap Nagaenthran Dharmalingam yang dijatuhi hukuman mati di Singapura.
Ahli Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Majlis Peguam Malaysia, New Sin Yew berkata dia telah diminta untuk memberikan keterangan di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi minggu depan.
“Saya sedang disiasat oleh polis berhubung majlis nyalaan lilin Badan Peguam Malaysia untuk Nagaentran di hadapan Suruhanjaya Tinggi Singapura malam tadi (26/4).
"Saya telah diminta untuk memberikan keterangan saya di IPD Dang Wangi minggu depan," katanya di Twitter.
New berkata, salah seorang ahli jawatankuasa, Yohendra Nadarajan, yang turut hadir pada majlis itu, turut dipanggil pihak polis.
Malaysiakini telah menghubungi ketua polis daerah Dang Wangi untuk mendapatkan pengesahan.
Bantahan pada Selasa lalu diadakan pada malam sebelum Nagaenthran dijatuhi hukuman gantung selepas Mahkamah Rayuan Singapura menolak rayuan terakhir ibu Nagaenthran untuk mengetepikan sabitan dan hukuman berkenaan.
Malay Mail melaporkan acara itu dihadiri 40 peserta yang memegang sepanduk dan pemegang lilin selama setengah jam, dengan diawasi kira-kira 30 anggota polis.
Nagaentran dijatuhi hukuman mati awal pagi semalam di sebuah penjara Singapura.
Abangnya Navin Kumar berkata, mayat mendiang akan dihantar pulang ke Ipoh untuk acara pengebumian.
Nagaenthran, 34, menunggu hukuman mati selama lebih sedekad atas kesalahan mengedar 44g heroin ke Singapura - sebuah negara yang mempunyai undang-undang narkotik paling keras di dunia.
Kes Nagaenthra menarik perhatian dunia, dengan sekumpulan pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, bilionair British Richard Branson, perdana menteri dan aktivis hak asasi manusia dari Malaysia menggesa Singapura meringankan hukuman.
Peguam dan aktivis berkata kecerdasan intelek (IQ) Nagaenthran adalah lebih rendah daripada purata iaitu 69, sekali gus menunjukkan ketidakupayaan intelek.
Bagaimanapun, mahkamah memutuskan Nagaenthran sedar ketika melakukan jenayah itu dan memutuskan tiada bukti menunjukkan sebarang kemerosotan mental.
Kerajaan Singapura berkata hukuman mati adalah langkah mencegah pengedaran dadah dan kebanyakan rakyatnya juga menyokong hukuman tersebut.

