Pakatan Harapan dan Muda Johor menggesa kerajaan negeri melibatkan ahli parlimen pembangkang dalam semua aktiviti ahli jawatankuasa penyelarasan DUN yang bakal dilantik tidak lama lagi.

Dalam satu kenyataan bersama, PH dan Muda berkata penyelaras baharu itu bertanggungjawab untuk bekerjasama dengan Adun pembangkang dan tidak melangkaui peranan wakil pilihan rakyat.

“Atas prinsip dan semangat dwipartisan, semua kemudahan dan jemputan ke majlis serta mesyuarat rasmi kerajaan untuk Penyelaras BN harus diperuntukkan dan dipanjangkan kepada Adun pembangkang,” kata PH dan Muda.

Mereka merujuk kepada rancangan Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi untuk melantik 16 pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Khas Dewan Undangan Negeri (JKPD) untuk menjalankan tugas di semua kawasan Adun pembangkang.

Onn Hafiz dilaporkan berkata penyelaras berkenaan akan terdiri daripada ahli politik BN yang akan memudahkan urusan di kawasan pembangkang terutama dalam aspek pengagihan bantuan.

Ketika ini, amalan sama dijalankan di Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang - semuanya ditadbir oleh PH.

PH dan Muda tidak membantah rancangan itu tetapi sebaliknya mencadangkan agar ia boleh diperbaiki dengan semua kemudahan dan jemputan ke majlis serta mesyuarat rasmi kerajaan untuk penyelaras BN juga diperuntukkan dan dipanjangkan kepada Adun pembangkang.

“Adun pembangkang yang dipilih oleh rakyat Johor bertanggungjawab untuk memastikan setiap maklumat, kerja lapangan, dan masalah rakyat disampaikan secara terus dan rasmi kepada JTPD,” kata mereka.

PH dan Muda berkata, penyertaan Adun pembangkang dalam JTPD, termasuk jawatankuasa pengurusan bencana, jawatankuasa keselamatan daerah, dan mesyuarat rasmi yang lain, akan memudahkan usaha membantu rakyat dan membangunkan Johor.

Selain itu, mereka juga menggesa kerajaan negeri supaya membentangkan rancangan 16 penyelaras BN bagi setiap suku tahun bagi tujuan penyelarasan.

Pengaturan ini akan membolehkan kerjasama yang lebih erat antara Adun pembangkang dengan penyelaras yang dilantik oleh kerajaan negeri.

“Ini juga selaras dengan hasrat Adun PH dan Muda untuk mengetepikan perbezaan fahaman politik, dan memberikan khidmat terbaik kepada bangsa Johor yang telah memilih semua Adun pada pilihan raya Johor yang lalu.

“Semua Adun pembangkang akan menyokong usaha yang baik daripada kerajaan demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri Johor,” kata mereka.