Nelayan temui serpihan sayap ekor pesawat Adam Air
Serpihan sayap ekor pesawat Boeing 737-400 Adam Air yang hilang di ruang udara kepulauan Sulawesi pada 1 Januari lalu ditemui oleh seorang nelayan di Pare-Pare, Makassar pagi ini.
Serpihan sayap ekor pesawat Boeing 737-400 Adam Air yang hilang di ruang udara kepulauan Sulawesi pada 1 Januari lalu ditemui oleh seorang nelayan di Pare-Pare, Makassar pagi ini.
Ia ditemui oleh seorang nelayan bernama Bakri ketika menjala ikan. Ia turut disahkan oleh pusat mencari dan menyelamat (SAR) di Pangkalan Udara Hasaddin di Makassar sebagai serpihan ekor sayap pesawat milikAdam Air berdasarkan nombor siri yang tertera di serpihan itu.
Menurut laporan Bernama, Komandan SAR Marshal Pertama Eddy Suyanto memberitahu sidang akhbar di Makassar hari ini bahawa serpihan itu yang merupakan sayap ekor pengimbang sebelah kanan sepanjang satu meter bernombor siri 65C25747DATAAIR76B.
Bakri, katanya, telah menyerahkan serpihan itu kepada polis Pare-Pare, yang terus menghantarnya ke pusat SAR di mana serpihan itu kini disimpan.
Nelayan tersebut dilaporkan menemui serpihan itu kira-kira 300 meter dari pinggir pantai, tempat dia menjala ikan 8km ke selatan bandar Pare-Pare. Tidak dinyatakan masa serpihan itu ditemui.
Pusat SAR belum dapat memastikan sama ada mayat seorang wanita yang ditemui dekat dermaga Pare-Pare merupakan seorang daripada 96 penumpang dan enam anak kapal pesawat Adam Air berkenaan.
Mayat wanita yang berumur sekitar 40 tahun itu, dilaporkan berbaju biru dan berseluar panjang warna coklat, ditemui pada 7.45 dalam keadaan yang masih sempurna.

