Jutawan British Richard Branson kesal dengan kematian dan hukuman mati yang dijatuhkan ke atas, warga Malaysia, Nagaenthran Dharmalingam di Singapura, pagi semalam.

Bagaimanapun, Branson yakin bahawa pelaksanaan hukuman mati semakin hampir tamat.

“Dalam beberapa jam dan hari akan datang (selepas pelaksanaan hukuman gantung ke atas Nagaentran), akan ada kemarahan, kekecewaan dan kesedihan yang mendalam.

“Tetapi, lebih daripada itu, saya yakin bahawa hukuman mati semakin hampir berakhir. Ia di tangan kita untuk menamatkannya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook 15 jam yang lalu.

Nagaenthran - yang dikatakan cacat dari segi intelek kerana IQnya yang lebih rendah daripada purata 69 - digantung sampai mati atas kesalahan mengedar dadah oleh mahkamah di Singapura.

Kesnya telah menarik perhatian umum, dengan ramai di media sosial mengkritik sistem undang-undang Singapura kerana tidak meringankan hukuman matinya.

Sambil menyatakan kesedihannya itu, Branson berkata Singapura agak berdegil dalam kes itu.

“Jentera kematian Singapura yang tidak henti-henti melakukan apa yang selalu dilakukannya. Berpegang teguh pada undang-undang, ia tidak memberi ruang untuk kesopanan, maruah, kasih sayang, atau belas kasihan.

“Biar kita jelas: Nagaentran bukan penjenayah. Dia adalah mangsa - keadaannya; kartel dadah yang memangsa golongan terpinggir dan miskin ini.

"Kemanusiaan telah mengecewakannya," katanya.

[Baca berita asal]