Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Guan Eng: Jelaskan peletakan jawatan 'mengejut' pengerusi SC
Diterbitkan:  Apr 29, 2022 9:25 AM
Dikemaskini: 3:05 AM

Pengerusi DAP Lim Guan Eng menggesa perdana menteri dan peguam negara menjelaskan peletakan jawatan “mengejut" Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti (SC) Syed Zaid Syed Jaffar dan pelantikan Awang Adek Hussin sebagai penggantinya.

Ini berlaku selepas laporan mengaitkan peletakan jawatan itu dengan pengendalian Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi kes penipuan melibatkan syarikat minyak dan gas Serba Dinamik Holdings Bhd.

Peletakan jawatan itu dibuat hanya enam bulan selepas Syed Zaid dilantik semula sebagai pengerusi eksekutif SC untuk penggal kedua bagi tiga tahun.

“Perdana menteri dan peguam negara mesti memberi penjelasan penuh mengenai peletakan jawatan Syed Zaid secara mengejut dan penggantian segeranya dengan seorang ahli Umno.

“Kerajaan mesti bertindak pantas untuk meyakinkan pelabur bahawa pasaran modal Malaysia bukan untuk kepentingan peribadi tertentu tetapi secara profesional, bebas, cekap, telus dan menghormati kedaulatan undang-undang serta bebas daripada sebarang campur tangan politik,” kata bekas menteri kewangan itu, semalam.

Awang Adek dilantik sebagai pengerusi eksekutif SC untuk tempoh dari 1 Jun 2022 hingga 31 Mei 2025, menggantikan Syed Zaid yang peletakan jawatannya bermula pada 31 Mei 2022.

Laporan The Edge semalam mengaitkan peletakan jawatan Syed Zaid dengan keputusan AGC menarik balik pertuduhan terhadap Serba Dinamik, yang dituduh memfailkan penyata kewangan palsu kepada bursa saham dalam apa yang disifatkan sebagai penipuan korporat terbesar oleh syarikat senaraian Bursa.

Laporan itu berkata ini menyebabkan SC tiada pilihan selain mengeluarkan denda. Ia mengenakan kompaun maksimum ke atas Serba Dinamik dan lima eksekutifnya, yang ia lakukan sehingga RM3 juta setiap seorang pada 13 April.

Selain kompaun RM3 juta, naib presiden kewangan syarikat itu Muhammad Hafiz Othman turut dikenakan kompaun RM1 juta lagi.

SC berkata pada masa itu bahawa kompaun dikeluarkan dengan kebenaran bertulis pendakwa raya selepas AGC menerima surat representasi Serba Dinamik mengenai kes penipuan yang belum selesai di mahkamah.

“Sumber yang mengesahkan ini berkata ia (peletakan jawatan) tidak mengejutkan bahawa Syed Zaid, seorang peguam korporat, telah memutuskan untuk berhenti, memandangkan apa yang telah berlaku pada bulan lalu,” lapor The Edge.

Malaysiakini telah menghubungi SC berhubung laporan itu semalam dan sedang menunggu jawapan.

SC bertanggungjawab ke atas pengawasan dan pengawalseliaan industri perkhidmatan kewangan Malaysia, termasuk penyeliaan Bursa Malaysia.

Awang Adek sebelum ini merupakan ahli parlimen Umno Bachok selepas memenangi pilihan raya umum 2004, dan juga pernah berkhidmat sebagai senator dari 2011 hingga 2013. Dia juga merupakan timbalan menteri kewangan dari 2006 hingga 2013.

Dia juga pernah menjadi penolong gabenor Bank Negara Malaysia dan bekas ahli lembaga SC.

Dalam satu kenyataan mengumumkan peletakan jawatan Syed Zaid, SC berkata ia mengalu-alukan pelantikan Awang Adek.

“Adalah satu penghormatan dan keistimewaan untuk saya berkhidmat untuk negara, dan memimpin sebuah institusi yang berdiri teguh seperti SC. Saya mengalu-alukan pelantikan Awang Adek, dan mengucapkan selamat maju jaya dalam peranan baharunya sebagai pengerusi SC seterusnya,” kata Syed Zaid.

Lihat Komen
ADS