Vignes sasar Sg Siput, MIC pula intai lebih banyak kerusi DUN Perak
Presiden MIC SA Vigneswaran memberi bayangan bahawa dia berkemungkinan bertanding di kerusi parlimen Sungai Siput pada pilihan raya umum akan datang.
Pada masa yang sama, MIC juga dikatan sedang mengintai untuk bertanding lebih banyak kerusi DUN di Perak.
“MIC akan bertanding di sini (Sungai Siput) kemungkinan saya (akan bertanding), tetapi kalau bukan saya di sini, orang lain akan bertanding,” kata Vigneswaran yang dipetik Astro Awani hari ini.
Sungai Siput sebelum ini adalah kubu kuat MIC, dan kerusi lama bekas presiden parti itu, S Samy Vellu sebelum ia ditawan oleh pembangkang pada 2008.
Sejak itu, BN gagal kembali di Sungai Siput.
Dalam perkembangan berkaitan, Vigneswaran berkata dia telah berjumpa dengan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi untuk membincangkan kemungkinan MIC bertanding di sekurang-kurangnya satu atau dua lagi kerusi tambahan di DUN Perak yang boleh dimenangi.
“Tiada guna jika kerusi yang kita dapat sukar untuk menang,” katanya.
Menurutnya, Zahid memahami permintaan itu, supaya seorang wakil rakyat keturunan India boleh menjadi antara exco Perak.
Pada pilihan raya 2018, MIC hanya memenangi satu kerusi di Perak, iaitu kerusi parlimen Tapah.

