Boikot pilihanraya sehingga SPR bersih, kata Pemuda PKR
Barisan Alternatif (BA) telah mengutamakan prinsip mengatasi kepentingan jangka pendek apabila memutuskan untuk memboikot pilihanraya kecil Batu Talam ketika pentadbiran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berada di tahap yang paling rendah, kata Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK).
Barisan Alternatif (BA) telah mengutamakan prinsip mengatasi kepentingan jangka pendek apabila memutuskan untuk memboikot pilihanraya kecil Batu Talam ketika pentadbiran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berada di tahap yang paling rendah, kata Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK).
Barisan Nasional (BN) pula, kata Pemangku Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin, kini dilanda pelbagai pendedahan skandal rasuah, pembunuhan, isu pembelian bot mewah dan perbalahan dalaman di setiap peringkat, termasuk yang melibatkan Umno Raub sendiri.
Malah, tambahnya, pelbagai keputusan pentadbiran Abdullah seperti kenaikan harga petrol, kadar tol dan kos sara hidup juga semakin menyempitkan kehidupan rakyat.
Dalam kenyataan hari ini, Shamsul berkata keputusan itu juga selaras dengan komitmen awal AMK semasa Kongres AMK 2004 yang meluluskan resolusi memboikot pilihanraya di atas prinsip bahawa pilihanraya yang diadakan ialah pilihanraya tempang.
"Keputusan BA untuk memboikot pilihanraya kecil Batu Talam adalah satu keputusan berprinsip menolak kepincangan dan penipuan dalam pengendalian pilihanraya di Malaysia demi mempertahankan hak dan maruah rakyat Malaysia agar tidak lagi dinafikan pilihan mereka pada hari mengundi," katanya.
Malah, tambahnya, Abdullah sendiri dilihat seperti tidak peduli dengan masalah hidup rakyat apabila memilih untuk meneruskan percutian di negara asing tatkala negara menghadapi bencana alam.
Persetujuan bersama
Meskipun populariti parti-parti alternatif semakin meningkat berbanding BN, katanya, PAS dan Keadilan mencapai persetujuan bersama itu kerana berpegang kepada prinsip menolak pilihanraya yang didakwanya korup.
"Ini sama sekali berbeza dengan tindakan Fron Sosialis pada sekitar tahun 60-an dahulu yang memboikot pilihanraya umum. Bezanya kerana Fron Sosialis tidak mempunyai pilihan selain melancarkan boikot apabila begitu ramai pemimpinnya telah ditangkap tanpa bicara oleh pemerintah.
"Tetapi BA pada hari ini bertekad melancarkan boikot dalam keadaan kekuatannya dan penerimaan rakyat terhadapnya sedang meningkat," tambahnya.
AMK, katanya, percaya politik prinsip seperti ini akan membawa perubahan yang jelas dalam senario politik negara ini.
"Justeru, AMK memberikan komitmen padu untuk membawa mesej menuntut pilihanraya yang benar-benar bebas dan bersih kepada segenap lapisan masyarakat di seluruh pelusuk tanahair.
"Rakyat tidak lagi boleh membiarkan mereka ditipu di peti undi dan pilihan mereka dinafikan, kerana itu ini adalah permulaan tindakan tegas rakyat menentangnya," katanya.

