Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP: Mansuh khidmat polis pengiring buat menteri, timb menteri
Diterbitkan:  May 8, 2022 11:10 AM
Dikemaskini: 3:37 AM

Anggota Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim menyarankan agar kerajaan memansuhkan khidmat polis pengiring kepada menteri, timbalan menteri dan wakil rakyat.

Dia menyifatkan perkhidmatan itu sebagai pembaziran terhadap tenaga kerja Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Sudah tiba masanya kita mansuhkan khidmat outrider polis kepada menteri, timbalan menteri dan wakil rakyat.

"Menteri, timbalan menteri dan wakil rakyat, jauh lagi kaum kerabat mereka, semuanya bukan raja," katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Kenyataan itu merujuk kepada satu laporan media yang mendakwa anak Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim menggunakan khidmat polis pengiring dalam kejadian di Pulau Pinang.

Pengguna media sosial berkongsi klip video yang dikatakan memaparkan insiden berkenaan.

Sementara itu Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Shuhaily Mohd Zain dalam kenyataan media hari ini mengesahkan kejadian tersebut.

Menurutnya satu rakaman video yang tular berdurasi 20 saat dikesan dimuat naik pemilik akaun Instagram ‘anwarazeez’.

"Rakaman video yang memaparkan seorang lelaki memandu sebuah kenderaan dan diiringi dua anggota polis trafik menggunakan motosikal milik PDRM, di jalan Bukit Gambir, Pulau Pinang.

"Pihak PDRM Kontinjen Pulau Pinang mengesahkan berkenaan kejadian yang berlaku. Satu kertas siasatan tatatertib telah dibuka dan siasatan terperinci akan dilakukan ke atas kedua-dua anggota yang terlibat.

"Pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai polis yang melakukan salah laku berkenaan," jelasnya.

Sementara itu Sim yang juga setiausaha organisasi DAP berkata, tanpa mengira pihak mana yang menjadi kerajaan, khidmat polis pengiring kepada wakil rakyat itu perlu dimansuhkan.

"You nak kejar masa, you keluar awal, kalau tak, you selesaikan masalah kesesakan lalu lintas supaya semua pengguna jalan raya boleh sampai ke destinasi dengan selesa. Tak perlu outrider," katanya.

Lihat Komen
ADS