Apakah Umno akhirnya akan bertapak di Sarawak satu-satunya negeri yang belum ditembusi parti komponen terbesar dalam Barisan Nasional (BN) itu.

Cakap-cakap mengenainya bukanlah perkara baru. Malah, ia telah diperkatakan sejak tahun 1960-an lagi sebelum Tun Abdul Rahman Yakub menjadi Ketua Menteri. Pada tahun 1980-an, terdapat beberapa kumpulan orang Melayu yang mempunyai hasrat yang sama, tetapi ia tidak pernah menjadi kenyataan.

Paling akhir ia diperkatakan secara serius ialah pada tahun 2001 apabila bekas Menteri Pusat Datuk Abang Abu Bakar disebut-sebut menjadi pendukung utama usaha membawa Umno ke Sarawak.

Minggu ini, nama yang disebut menjadi pembawa misi Umno ke Sarawak ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Effendi Norwawi 59, yang merupakan orang kepercayaan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Malah, peranan Effendi dalam politik Sarawak pada masa depan, turut menjadi bahan spekulasi yang hangat diperkatakan selepas komen terbaru Taib mengenainya.

Selepas pulang daripada bercuti selama sebulan Khamis lalu, Ketua Menteri berkata beliau telah menerima keputusan Effendi untuk tidak mempertahankan jawatan naib presiden dalam pemilihan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Miri bulan depan.

Taib mengesahkan Effendi telah menemuinya bulan lalu dan memaklumkan kepadanya bahawa beliau mahu memberi laluan kepada pemimpin muda, dan berkata beliau (Taib) telah menerima keputusan tersebut.

Taib berkata, keputusan itu selaras dengan semangat PBB untuk memberi peluang kepada orang lain, tetapi tidak menyatakan apakah peranan yang bakal dimainkan oleh Effendi yang menurutnya tidak akan bersara dari politik dalam parti itu pada masa depan.

Taib yang juga presiden PBB menjelaskan bahawa Effendi tidak meletakkan jawatan dalam parti, tetapi hanya tidak akan mempertahankan jawatan tersebut bagi memberi laluan kepada muka baru.

Sudah tiba masanya?

Menurut satu teori, besar kemungkinan kerana kedudukannya yang rapat dengan pemimpin pusat Taib telah meminta Effendi membantunya membuat persiapan untuk membawa Umno ke Sarawak, dan ini bermakna pembubaran PBB.

Ia bukan satu rahsia lagi bahawa Umno telah lama mahu mengembangkan sayapnya ke Sarawak, dan mengikut kebanyakan pemerhati politik, masanya mungkin sudah sampai untuk berbuat demikian.

PBB adalah tulang belakang BN Sarawak. Ia mempunyai 35 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai 71 wakil rakyat dan 10 ahli Parlimen serta seorang senator.

Seperti juga Taib, Effendi berketurunan Melanau, dan dianggap salah seorang yang paling dipercayai Ketua Menteri itu. Tetapi penentangan terhadap Effendi untuk menggantikan Taib, datangnya bukan daripada kalangan masyarakat Islam orang Melayu tetapi dari dalam kumpulan Melanau sendiri. Rahman Yakub juga berketurunan Melanau.

Adalah dipercayai Umno tidak dapat masuk ke Sarawak pada masa lalu kerana usaha ke arah itu tidak mendapat restu Rahman atau Taib.

Bagaimanapun, ramai yang kini berkata ianya hanya menunggu masa untuk Umno bertapak di Sarawak.

Mengenai kemungkinan Effendi berkerjasama dengan Taib untuk membawa masuk Umno ke Sarawak dan dalam proses menjadikan Effendi penggantinya memimpin PBB dan menjadi Ketua Menteri, seorang bekas pemimpin PBB memberitahu malaysiakini: "Ia satu kemungkinan besar."

"Tidak ragu lagi, ia bukan satu cara biasa, tetapi tidak siapa yang tahu apa yang sebenarkan bakal berlaku, kecuali Taib sendiri," tambahnya.

Ramai pemimpin

Menurut pemerhati politik, satu lagi nama yang disebut bakal memainkan peranan aktif dalam politik PBB dan mengisi jawatan penting parti ialah Aziz Hussain, yang bersara dari jawatan Setiausaha Keajaan Negeri pada 15 Disember lalu. Aziz, 57, berkahwin dengan adik Taib.

Seorang adik Taib, Ali Mahmud, seorang peniaga yang berjaya, telahpun aktif dalam politik. Ali merupakan Adun Muara Tuang. Begitu juga dengan Hameed Sepawi, seorang peniaga Melanau yang berjaya dan merupakan saudara rapat Taib yang kerap disebut bakal menjadi pemimpin peringkat negere. Tetapi Hameed dikatakan kurang berminat untuk menyertai politik.

Namun begitu, menurut pemerhati politik, Taib tidak pernah kekurangan pemimpin yang rapat dengannya yang boleh memainkan peranan utama selepas beliau bersara dalam politik Sarawak.

Masa untuk beliau memutuskan untuk bersara dan menyerahkan kuasa kepada pemimpin baru juga bergantung setakatmana beliau yakin dengan bakal penggantinya untuk melindungi kepentingan perniagaan keluarganya dalam sektor kewangan dan pembankan, pembinaan, perladangan dan pembalakan di Sarawak yang memang dikenali dengan naungan politiknya.

Taib juga dikatakan sedang melepaskan banyak kepentingan perniagaan keluargannya, termasuk pegangan dalam salah sebuah bank induk di Malaysia RHB Bank.

Bila semua usaha mengemaskan perniagaan keluarganya terlaksana, maka hanya masa yang akan menentukan bila beliau akan besara dari politik sama ada bersara terus atau mengikut jejak langkah bapa saudaranya, Rahman Yakub yang bersara dari jawatan Ketua Menteri pada 1981 dan dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak. Berita asal