Kartunis politik, Zunar, melancarkan buku terbarunya yang bertajuk 'Cartoons on Tun...and Others' malam tadi yang mengandungi lakaran kartun menarik khusunya, mengenai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Zunar atau nama sebenarnya, Zulkiflee Anwar Haque, 44, memulakan kariernya pada 1986 apabila ia bekerja dengan majalah Gila-Gila. Pada tahun 1990, beliau menyertai Berita Harian sebagai pelukis kartun politik.

Bagaimanapu, beliau tidak lama di Berita Harian kerana kurang kebebasan dari pihak akhbar itu untuknya berkarya serta tekanan dari pihak kerajaan.

Ekoran peristiwa pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Umno dan kerajaan pada 1998, Zunar menyedari betapa penting baginya turut memainkan peranan untuk mendidik rakyat mengenai senario politik tanahair. Dan beliau kembali aktif sebagai pelukis kartun politik.

Buku terbarunya ini merupakan kompilasi lakaran kartun khususnya mengenai Dr Mahathir selama ini yang penuh dengan sindiran dan mesej yang tajam mengenai perkembangan politik tanahair.

Majlis pelancaran buku itu malam tadi turut dihadiri oleh 200 peminatnya, termasuk Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam ucapannya di majlis pelancaran tersebut, Zunar mengeletek para hadiran dengan kata-kata sindiran, terutama mengenai 'sasaran utamanya' yang tidak lain dan tidak bukan, Dr Mahathir.

'Peminat setia Zunar'

Secara berseloroh, Zunar mengucapkan terima kasih kepada bekas Perdana Menteri itu kerana memberikannya banyak 'ilham' untuk berkarya.

Zunar sekali lagi menguit hati para hadirin apabila beliau memohon maaf kepada Dr Mahathir kerana menggunakan dirinya untuk 'buat duit' tanpa kebenaran bekas Perdana Menteri itu.

Namun begitu, Zunar menegaskan bahawa beliau melukis kartun bukan semata-mata untuk membuat orang ketawa.

"Saya melukis supaya orang ketawa dan berfikir. Saya menganggap diri saya sebagai setitik air di lautan, tetapi saya sekurang-kurangnya dapat mencipta riak atau ombak," katanya.

Sementara Anwar pula mengakui beliau adalah peminat setia Zunar dan memberitahu para hadiran mengenai signifikannya kartun lakaran Zunar, terutama sewaktu beliau dipenjara.

Buku itu juga mengandungi lakaran kartun sindiran mengenai Anwar di mana pada tahun 1974, beliau dilakar sebagai melaungkan 'demonstrasi', pada 1986 melaungkan 'demokrasi', pada 1998 melaungkan 'reformasi' dan pada 2004, beliau berkata:'Wait and see (tunggu dan lihat)...'

Turut hadir di majlis pelancaran tersebut ialah Ketua Pengarang malaysiakini , Steven Gan dan pemimpin kanan PKR, Azmin Ali dan Tian Chua.

Buku terbaru Zunar itu berharga RM29 dan boleh didapati di pejabat malaysiakini atau membuat pembelian melakui internet di www.kinibooks.com .