Keutamaan bagi bumi jadi halangan rundingan FTA
Keutamaan kepada bumiputera kekal sebagai "isu paling mencabar" dalam perbincangan perdagangan bebas Amerika Syarikat-Malaysia yang sedang berjalan, ketua perunding AS, Barbara Weisel.
Keutamaan kepada bumiputera kekal sebagai "isu paling mencabar" dalam perbincangan perdagangan bebas Amerika Syarikat-Malaysia yang sedang berjalan, ketua perunding AS, Barbara Weisel.
Katanya, Amerika tidak melihat kepada menghapuskan sama sekali program sosial bagi orang Melayu dan kumpulan pribumi, "tetapi kami mahu melihat lebih ketelusan, lebih boleh diramal" terutamanya dalam pemerolehan dan perkhidmatan kerajaan," katanya dalam persidangan berita telefon mengenai pusingan perbincangan keempat di San Francisco.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, dalam sektor perkhidmatan, Amerika mendesak liberalisasi keutamaan bumiputera dalam telekomunikasi, perkhidmatan kewangan, penghantara ekspres, komputer dan pengedaran kuasa.
Mengenai isu bumiputera yang dianggapnya sebagai "amat sensitif... penting daripada segi politik", Weisel yang juga Penolong Wakil Perdagangan Amerika Syarikat bagi Asia Tenggara itu berkata, tidak ada ruang bagi tolak ansur.
"Saya fikir ada cara-cara untuk mencari penyelesaian terhadap isu-isu ini yang tidak menjejaskan dasar-dasar yang telah wujud bagi masa yang lama dan membolehkan kerajaan Malaysia membuka pasaran." katanya.
Bagaimanapun, kata Weisel, isu keutamaan Bumiputera perlu diusahakan sebelum kedua-dua pihak boleh menghasilkan persetujuan yang komprehensif.
"Kami tidak sanggup menutup perundingan dan datang semula dalam masa lima tahun," katanya.
Pusingan KL minggu depan
Weisel melahirkan keyakinannya sambil berkata: "Saya fikir ia boleh dilakukan jika kedua-dua pihak komited kepada menyelesaikannya."
Amerika, katanya, berharap untuk menamatkan berbincangan menjelang 30 Mac supaya ia boleh dibentangkan kepada Kongres sebelum kuasa promosi dagangan (TPA) presiden luput tempoh pada 1 Julai.
Perundangan itu memerlukan para penggubal undang-undang AS meluluskan perjanjian-perjanjian perdagangan tanpa membuat sebarang perubahan.
"Kami percaya kemajuan yang telah kami capai minggu ini, telah meletakkan kami di dalam jarak yang kecil untuk menyelesaikan dalam masa beberapa bulan akan datang," kata Weisel.
Isu-isu lain yang dibincangkan adalah pertanian, tekstil dan automobil.
Weisel berkata, kedu-dua pihak mengadakan perbincangan yang baik minggu ini dan telah mencapai persetujuan sementara mengenai banyak bidang daripada teks itu yang mengandungi 23 bab.
Pusingan perbincangan akan datang dijadul diadakan di Malaysia bulan depan.

