Solat hajat bagi memohon pertolongan Allah S.W.T meringankan beban akibat banjir akan diadakan mulai malam ini di masjid setiap daerah di Johor yang teruk dilanda banjir.

Majlis solat hajat itu adalah anjuran Majlis Belia Negeri Johor dengan kerjasama kerajaan negeri dan tujuh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurut laporan Bernama, Presiden Majlis Belia Negeri Johor Datuk Ramli Ismail menjemput Muslimin dan Muslimat bersama-sama menjayakan majlis itu.

NGO berkenaan termasuk Kesatuan Pelajar Islam Johor, ABIM Johor, Jemaah Islah Malaysia Johor, Persatuan Ulama Malaysia Johor, Gabungan NGO Muslim Johor dan Teras Pengupayaan Melayu Johor, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata Unit dan Tabung Bantuan Banjir majlis juga memohon jasa baik badan-badan kerajaan, syarikat korporat, para usahawan dan dermawan untuk memberi sumbangan barangan keperluan untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

Barangan yang amat diperlukan itu termasuk selimut, makanan, air mineral, pakaian, baju sekolah, buku sekolah serta makanan ringan, katanya.

Segala sumbangan boleh disalurkan menerusi majlis belia di setiap daerah atau dengan menghubungi Ashaari Mohamed di talian 013-7237786.