Lelaki ditahan kerana halang penjawat awam iringi VIP
Seorang lelaki ditahan kerana dia disyaki menghalang penjawat awam yang sedang mengiringi orang kenamaan dan memandu secara gopoh di Lebuh Raya Sultan Iskandar menghala ke susur masuk ke Jalan Sultan Abdul Halim, di Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata pihaknya menerima satu laporan polis berhubung perkara berkenaan.
Menurutnya susulan daripada laporan tersebut polis menahan lelaki berusia 36 tahun terbabit dan direman selama empat hari.
“Individu tersebut akan dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, iaitu kerana menghalang penjawat awam dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu atau menunggang dengan gopoh di jalan awam,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Noor Dellhan berkata polis memberi amaran agar orang ramai tidak terlibat dengan apa-apa kesalahan yang melanggari undang-undang, dan tindakan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
- Bernama

