PAS akan mengemukakan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin meminta keanggotaan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan peraturan berkaitan proses pilihanraya diteliti semula.

Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub berkata, antara kandungan memorandum tersebut ialah desakan parti pembangkang itu supaya Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman meletak jawatan.

"PAS Pusat sedang merangka memorandum itu dan kita akan cari satu tarikh untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong memohon Seri Paduka meneliti semula perkara-perkara berkaitan SPR dan peraturan pilihan raya ini," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat bulanan Pemuda PAS Pusat hari ini.

Menurut laporan Bernama, penelitian semula itu perlu jika mahu memastikan proses pilihanraya di negara ini berjalan secara telus selaras dengan prinsip demokrasi.

"Kita tengok dalam era Abdul Rashid inilah, SPR paling teruk dengan pelbagai masalah dan perkara-perkara yang tidak pernah berlaku sebelum ini (tetapi) berlaku semasa kepimpinan Abdul Rashid.

Boikot pilihanraya

"Contohnya isu pengundi hantu yang sememangnya wujud sekalipun ada teknologi maklumat. Itu tak termasuk tindakan SPR melanjutkan waktu mengundi di Selangor dari jam 5 petang kepada 7 petang semasa pilihanraya umum 2004. Tak pernah berlaku sebelum ini dan perkara itu bertentangan dengan peraturan," katanya.

PAS juga katanya mahu sebuah suruhanjaya bebas ditubuhkan bagi mengkaji semula peraturan dalam proses pilihan raya di negara ini.

Mengenai isu berkaitan, Salahuddin berkata tindakan Pas memboikot pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Batu Talam, di Pahang direstui penyokongnya di negeri itu.

"Kita dah jelaskan kepada mereka sebab kita boikot itu kerana kita mahu ketelusan daripada SPR dan kita juga mahu SPR diteliti semula. Mereka terima dan tidak timbul isu penyokong parti marah," katanya.

Isu SPR berbangkit apabila Abdul Rashid mencadangkan supaya peraturan berkaitan proses pilihanraya diteliti semula bagi memastikan ketelusan di samping memberi lebih kuasa kepada badan itu dalam melaksanakan tugasnya.