Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menafikan dakwaan bahawa pihaknya mengumumkan darurat di Johor berikutan bencana banjir.

Sebaliknya, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata, pengumuman itu hanya boleh dilakukan oleh Bahagian Keselamatan Negara (BKN).

Katanya, polis sebagai sebuah pihak berkuasa, hanya menjalankan tiga perkara utama iaitu mencari dan menyelamat, membanteras jenayah dan membantu mangsa di pusat pemindahan

banjir.

"Kita minta orang ramai tidak mendengar khabar angin bahawa Johor sudah diisytiharkan darurat oleh polis. Polis hanya ditugaskan membantu dan semua pemantauan dilakukan oleh BKN serta hanya BKN yang dibenarkan membuat pengumuman mengenai darurat," katanya kepada pemberita di Kluang hari ini.

Menurut laporan Bernama, Musa mengulas desas-desus mengatakan bahawa polis mengisytiharkan darurat di Kota Tinggi berikutan banjir menenggelamkan pusat bandar bersejarah itu.

Terdahulu, Musa mengiringi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil melawat 1,515 mangsa banjir di pusat pemindahan Sekolah Agama Gunung Lambak.

Bantu mangsa banjir

"Apa yang dikatakan darurat itu ialah semua mangsa banjir tidak dibenarkan pulang ke rumah masing-masing," tegasnya.

Musa juga berkata, polis akan menambah bilangan anggota bagi membantu mangsa banjir dan anggota terbabit dijadual tiba petang ini.

"Setakat ini seramai 2,120 anggota sudah bertugas dan saya sudah arahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) yang disertai seramai 1,000 orang sebagai anggota tambahan membantu di kawsan yang terlibat," katanya.

Beliau berkata, turut ditambah adalah seramai 500 anggota melibatkan Pasukan Polis Marin dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

"Sejumlah 29 buah bot juga sudah diagihkan ke kawasan yang memerlukan manakala dua buah helikopter yang kita disediakan juga dilaporkan sudah membawa dua wanita yang mahu melahirkan anak semalam," katanya.